Enam
LAPANGAN terbang itu tampak tidak begitu
sibuk. Ayu membawa bagasinya. Syazmy, Amar dan Razif sedang menunggu untuk
menghantar Ayu bertugas di luar negara.
Syazmy berbual seketika dengan Ayu.
“
Siapa nak dengar aku menangis nanti?”
Syazmy memuncungkan bibirnya mengusik Ayu. Ayu ketawa besar.
“ Kau
kan dah ada cik abang? Khairil dah balik
kan? Sayangnya, aku pulak terpaksa
bertugas. Aku tak dapat nak tengok
keadaan kau. Aku harap, kau dan Khairil
tidak menjadi semakin teruk.”
“ Aku
pun tak tahu, sehari kehadiran dia, bagaikan setahun bagi aku. Kau ni nak pergi berapa lama?”
“
Depends la. Aku pun tak tahu lagi
berapa lama. Nak cari duit banyak-banyak
dulu. Tapi bukanlah aku langsung tak
balik. Jangan lupa hantar berita.. kalau kahwin ke..”
“ Ada
aku pulak?”
“
Yelah. Kau yang aku nampak dah
dekat..”
“ Ajib
tu nampak jauh ke?”
“ Jauh
jugak la sebab aku kena bertugas. Dia
duduk sini. Entah-entah aku jumpa orang
lain di perantauan nanti.. siapa tahu kan?”
“
Ha’ah!! Ajib tu kau nak letak
mana?” Syazmy menjegilkan matanya.
“
Maksud aku, jumpa orang lain untuk kenenkan dengan kau la..” Ayu meredakan perasaan Syazmy. Jauh di dasar hatinya, dia berasa sangat
bertuah kerana Razif telah ditakdirkan untuk melengkapinya. Dia tidak mahu lelaki lain lagi. Kekurangan atau kelemahan Razif adalah benih
yang mencambahkan rasa sayangnya.
“ Ha..
tau takut.. Jangan lupa hantar berita
kat aku tau. Email ke.. jangan terus
lupakan kenangan kita ni..” Ayu dan
Syazmy mula melayan perasaan. Sukar rasanya
berpisah antara benua. Syazmy merasainya
untuk kali kedua berjauhan dengan seseorang yang rapat dengannya. Setelah Ayu terbang, Khairil pula kembali.. dapatkah dia mengawal diri di hadapan Khairil
dan berlagak seperti biasa?
KHAIRIL menolak daun pintu biliknya yang lama
ditinggalkan. Hampir bertahun juga dia
tidak lagi menjadi penghuni tetap bilik itu.
Biasanya mama, papa dan Syazmy yang akan bercuti ke tempatnya. Dia menarik nafas perlahan. Mencium wangian yang pernah hilang selama
beberapa tahun. Kewangian suasana ceria
rumah mereka. Kewangian gadis
kesayangannya.
Menurut
mama, Syazmy bekerja lebih masa dan akan pulang agak malam. Rupanya banyak yang dia tertinggal untuk
berkongsi perkara-perkara penting perjalanan hidup Syazmy. Syazmy yang sudah berubah. Dia tidak lagi menjadi ITRA yang lembut dan
manja. Dia kini menjadi Fitratun Syazmy,
seorang adik kepada Khairil Aizam..
“ MORNING..”
Syazmy masih terpisat-pisat melangkah ke ruang dapur. Langkahnya gontai.
“
Morning, honey..” Papa dan mama
memandang Syazmy yang melangkah ke peti sejuk.
“
Kenapa mama dengan papa pandang Yamy macam tak puas hati je ni?”
“ Mana
ada tak puas hati. Yamy tak siap
lagi?” Persoalan mama itu membuatkan
mata Syazmy membuntang.
“
Aik? Kita ada appointment apa-apa
ke?” Syazmy meletakkan cawan yang berisi
jus oren itu di atas meja sambil melabuhkan punggungnya duduk bersama mama dan
papa.
“
Yamy?? Mama macam tak percaya je
Yamy tak ingat hari ni hari apa.”
“ Hari
apa, ma? Papa?” Syazmy memegang erat lengan papanya memohon
papanya membuka mulut membantunya.
“ Hari
ni hari penting Yamy.” Papa bersuara.
“ Hari
apa ye? Ala.. Yamy tak larat nak
teka. Dah la semalam balik malam. Pagi-pagi dah kena guna otak.. hari apa, ma?” Syazmy merengek manja. Kebetulan dia mengambil cuti. Hilang kantuknya sebentar tadi. Ada perasaan teruja untuk mengetahui
keistimewaan hari itu.
“ YAMY…” Ada suara yang kedengaran turun dari tangga
rumah itu. KHAIRIL??!! Sekujur tubuh yang segak. Wajah yang terurus dan wajah yang kini
menunjukkan kematangannya. Dia sedang
melangkah ke arahnya. Syazmy sedang kaku
menelan liurnya yang terasa pahit.
“
Ehh.. Abang? Bila sampai
ni?” Reaksi Syazmy agak kaku. Bukan seperti Syazmy yang amat manja dengan
abangnya. Kini Syazmy seolah mempunyai
tembok untuk rapat dengan Khairil.
“
Ehh.. je ke reaksi Yamy?” Khairil
merenung Syazmy. Mengharap bantuan
Syazmy agar keluarga mereka tidak tahu sebarang keretakkan sedang memusnahkan
hubungan adik beradik yang terbina dahulu.
“ Yamy
tak nak peluk abang ke? Sedihnya..
balik-balik dari jauh, Yamy macam tak suka je abang balik?” Khairil tersenyum sambil mendepangkan
tangannya. Mama dan papa sedang
tersenyum manis memerhatikan setiap inci perbuatan mereka.
“
Abang..” Syazmy memeluk Khairil
erat. Matanya mula berlinangan. Wangian yang masih sama. Khairil membalas pelukan Syazmy. Erat.
Menyalurkan kemaafan. Menyalurkan
rindu. Mereka berdua seolah sedang meleraikan
rindu yang menggunung.
“ Ma,
pa.. kenapa tak kasitau Yamy yang abang dah balik?” Syazmy meleraikan pelukan yang masih
kemas. Dia enggan meladeni sedih bersama
lelaki yang tidak lagi mahukannya. Dia
juga enggan melayani perasaan sayangnya.
“ Saje
nak surprise kan Yamy.. Happy birthday
sayang…” Mama dan papa memberikan dua
bungkusan hadiah.
“
Thank you, papa…mama. Abang tak
kasi hadiah kat Yamy pun?” Syazmy
terdiam seketika saat menyambut hadiah dari mama dan papa. Dia memang benar-benar terlupa tentang tarikh
hari ini. Lantas, dia memandang
Khairil.
“
Hadiah? Hmmpp.. apa kata kita
keluar makan malam ni?”
“
Malam nie? Malam nie? Hmmphh.. apa kata, kita keluar
sekeluarga? Lagipun kita dah lama tak
keluar sama..” Khairil melepaskan
keluhan mendengar cadangan yang lahir dari bibir Syazmy. Apakah pelukan eratnya tadi sekadar lakonan
untuk mengaburi mata mama dan papa?
Syazmy seolah tidak mahu berduaan dengannya.
“ So..
Ril.. mama dengan papa boleh ikut ke?”
Papa dan mama saling memandang Khairil.
“
Ops.. sure!! Apa je yang Yamy
kata, of course boleh..”
“
That’s my brother!!! Okaylah,
ma.. pa.. Yamy nak sambung mimpi..”
“
Tengok tu!! Nak sambung
tidur? Abang ni baru balik..”
“
Alaaa.. abang kat sini kan lama?
Jadi, abang pun mesti nak top up tidur and nak top up masa nak rest
sebelum mula kerja.. betul tak?”
“
Tapi.. abang nak top up masa yang tak dapat spend dengan Yamy..” Sayu kedengaran kata-kata itu. Syazmy tersenyum sayu. Syazmy memegang bungkusan hadiah.
“ Masa
untuk top up masa yang abang tak dapat spend dengan Yamy tu, dah sampai waktu
expired..” Syazmy terus mencebik ke arah
Khairil lalu melangkah masuk ke biliknya semula. Papa dan mama ketawa mendengar kata-kata
Syazmy. Namun, bagi Khairil, itu seakan
amaran baginya.
SYAZMY bersandar di belakang pintu
biliknya. Airmatanya mengalir laju. Terasa-rasa lagi kehangatan tubuh
Khairil. Wangiannya serta suaranya. Syazmy terasa semakin lemah ketika berada di
dalam rumah itu. Bersama dengan Khairil
membuatkan nafasnya seolah tidak mencukupi untuk dihirup. Serasa sebahagian dari nafasnya meluru ke
ruang rongga Khairil. Kenapa detik ini
muncul? Mengapa empat tahun itu terasa
terlalu cepat?
SYAZMY masih termenung. Minuman di hadapannya sudah hampir
setengah. Makanan yang dipesan itu tidak
diusik sedikit pun. Hari ini adalah hari
lahir yang paling sepi pernah dilalui.
Tiada Ayu di sisi. Jam sudah pun
menunjukkan pukul 10 malam. Dia menutup
talian telefonnya. Petang tadi, dia
keluar secara senyap-senyap dan terus menghabiskan masanya di luar. Berjalan-jalan dan menghabiskan masa sehingga
kakinya terasa kebas akibat terlalu lama berjalan. Lalu dia mengambil keputusan untuk masuk ke
restoran itu dan terusan duduk termenung.
Syazmy menghela nafas panjang.
Dia mendail nombor telefon rumahnya.
“
Mama..” Syazmy cuba berlagak
tenang. Suara mama sudah kedengaran
beralun cemas.
“
Yamy… Yamy kat mana ni? Puas
telefon tapi tak dapat. Kan abang dah
janji nak bawak keluar makan? Yamy ke
mana?”
“
Mama.. Yamy jumpa kawan tadi.
Bateri phone Yamy weak..Terlupa nak charge phone semalam. Borak punya borak, tak sedar pun dah malam. Sorry, ma..”
“
Takpelah. Janji Yamy
selamat. Nak balik pukul berapa ni?”
“ Ni
nak balik lah ni.. kejap lagi, Yamy
sampai. Semua dah tidur ke?”
“
Siapa yang boleh lena kalau Yamy tak balik lagi? Baliklah.. abang pun dah tak tenang
ni..” Kata-kata mama itu membuatkan
hatinya berdetak kencang. Dia enggan
pulang dan menatap mata Khairil.. Dia
benci bila ada rindu terselit dalam hatinya untuk Khairil. Semakin jauh dia mengelak, semakin berat rasa
rindunya. Talian dimatikan.
“ HAI,
sayang.. lama termenung?” Syazmy
tergamam mendengar panggilan itu. Amar
tersenyum manis. Hati Syazmy kembali
reda.
“
Amar..?? Turun dari langit ke?”
Syazmy mengusik lelaki itu.
“
Turun dari langit ape.. Mar ada
jumpa client tadi. Try to call you tapi
cannot reach.. lama jugak Yamy kat sini ye?
Amar datang tadi pukul 8.30 and till now, you are still here and not yet
finish your dinner.. hmm.. darling?”
Syazmy tersenyum kelat. Dia tahu
lelaki itu menyindirnya secara halus.
“ Yamy
dah nak baliklah ni..” Syazmy mengemas
sedikit barangnya. Amar tersenyum
lagi. Dia memang enggan memaksa
seseorang berterus-terang walaupun hatinya meronta-ronta ingin tahu penyebab
Syazmy semakin murung. Amar memegang
jemari Syazmy. Menggenggam erat
menyalurkan kekuatan. Dan tiba-tiba dia
terasa tubuhnya dipeluk. Syazmy
memeluknya dan terus membisu. Seketika
kemudian, Syazmy kelihatan sedikit terkawal.
“
Honey.. what ever it is.. I am still with you..” Amar memeluk bahu Syazmy.
“
Thank you..” Syazmy mengukir
senyum.
“ No
big deal.. malam ni, Amar hantar balik okay?
Yamy tak boleh drive sebab Yamy tak tenang. Esok shift apa?”
“
Pagi..”
“ I’ll
fetch you tomorrow morning.. Is it okay with you?” Pertanyaan Amar itu dijawab dengan
anggukan. Syazmy enggan berfikir lagi. Dia hanya mahu bebas dari pelbagai perasaan
sedih. Kesedihan itu telah lama
membunuhnya secara perlahan. Dia hampir
lupa bagaimanakah Syazmy yang asal.
PANDANGAN tajam Khairil itu dibalas
berani. Papa dan mama telah masuk ke
bilik selepas menghantar Amar dengan pandangan mata. Mungkin hati tua mereka lega apabila
mengetahui Amar bersama anak gadis mereka sepanjang hari. Namun, ada hati yang seolah pecah melihat
kemesraan papa dan mama dengan Amar.
Entah bagaimana lelaki yang pernah menyebabkan hubungan kasihnya
bergelora sebelum terbang ke luar negara itu boleh masuk ke dalam
keluarganya. Mereka seolah sudah biasa
berjumpa. Mama dan papa pula seolah
‘merestui’ Syazmy dan Amar..
“ Ada
yang Ai terlepas ke?” Suara itu seolah
menyindir halus Syazmy. Syazmy
tersentak. Masihkah dia mengakui yang
dia adalah Ai?
“
Ai? Ai tak terlepas apa-apa
berita tapi.. ‘abang’ terlepas untuk tahu keadaan semasa ‘adik’nya..” Syazmy menekankan perkataan abang dan
adik. Wajah Khairil berubah warna. Dia tahu yang Syazmy sedang mengejutkannya
dari kenangan lepas mereka.
“ Apa
yang Itra nak katakan ni? Itra tak beri
peluang untuk Ai terangkan semuanya dan terusan menghukum Ai macam ni? Adil ke?”
Khairil mula memberontak. Dia
tidak mahu terus kaku dalam rumah itu. Syazmy sudah tidak memandangnya walau dengan
sebelah mata. Perpisahan mereka telah
membina jurang hubungan adik beradik mereka.
“
Siapa Itra? Siapa Ai? Siapa?
Siapa yang tak beri peluang pada keadaan seperti ini? Siapa yang terus membuat keputusan untuk
mengakhirkan sesebuah perhubungan kasih?
Kalau kita membina sesebuah hubungan kasih, kita perlukan persetujuan
kedua-dua belah pihak namun untuk memutuskan hubungan, apakah lelaki sentiasa
membuat keputusan yang selalunya tepat tanpa memikirkan perasaan seorang
perempuan? Apa lagi yang penting selepas
hubungan itu terputus? Tak ada apa yang
penting untuk Khairil tahu tentang Syazmy..”
Syazmy menolak dada Khairil. Dia
benci untuk terusan bersikap tenang sedangkan jiwanya sentiasa membara. Luka lamanya sedang berdarah.
“ Jadi
Ai yang bersalah?”
“
Yes!!! Absolutely yes.. Yamy
sekarang hanya untuk bergelar seorang adik… bukan lagi Itra.. Lepaskan Itra dari hidup Ai. Itra dah tak sanggup nak bertahan
selama-lamanya macam ni. Kita just pretend.. Hanya untuk mama dan papa..” Khairil memandang Syazmy dengan pandangan
redup.
“
Itra.. Ai nak kita mulakan semula.
Ai tak dapat lupakan Itra. Kita
sama-sama rasa sakitnya..”
“ Tak
mungkin Ai.. kita dah terlalu jauh untuk berpatah balik. Sakitnya masih ada.. Itra yang dulu takkan kembali..” Syazmy terus berlalu. Tekad dengan keputusannya. Dia enggan mengulangi rasa sakit yang sudah
terbina dalam setiap sendi dirinya. Dia
mahu mengurangkan rasa sakit itu.
“
Itra.. fikirkannya.. bukan untuk diri Itra sahaja.. untuk Ai dan untuk
hubungan kekeluargaan ini..” Kata-kata
Khairil itu mengundang sebak dalam diri Syazmy.
Dia sedar, dirinya bukan lagi Syazmy yang dulu. Kata putus Khairil dulu telah menyingkirkan
sikap sebenarnya.
“
Kalau abang nak tahu… Yamy benci bila hari lahir Yamy menjelma. Mengingatkan Yamy pada hari lahir yang abang
lupakan. Yamy ingat malam tu, abang akan
call dan Yamy dah ready nak mula semula tapi.. sampai ke pagi, there’s nothing
and you just call me after three months.. five months plus three… eight months
can change anything…” Syazmy memandang
Khairil dengan pandangan kesal. Khairil
hanya terdiam. Menelan liur yang terasa
pahit.
KHAIRIL bersandar menikmati suasana
petang. Sudah berpuluh-puluh surat dan
resume dihantar namun semuanya masih belum nampak hasilnya. Dia enggan bekerja dengan papa. Dia ingin menimba pengalaman sebelum memasuki
bidang perniagaan papanya. Dia mahu papa
bangga dengan anaknya. Deruman enjin
berdekatan pagar rumahnya membuatkan Khairil lantas bangun. Dia mahu memandang aksi Amar dan Syazmy
dengan empat matanya. Dia mahu
mengukuhkan kata-kata mama dengan pandangannya sendiri.
SYAZMY dan Amar berbual sebentar di sisi
kereta Honda berwarna hitam. Langkah
diatur laju ke arah Syazmy dan Amar.
“
Hai..” Khairil cuba mengukir
senyuman yang paling manis untuk berhadapan dengan Amar. Syazmy agak tergamam.
“
Hai.. Assalamualaikum..” Amar
menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan Khairil. Khairil menjawab salam itu sambil menyambut
huluran salam itu. Lama mereka berjabat
salam hingga meresahkan Syazmy. Dia
enggan menimbulkan apa-apa konflik.
“
Hai.. Mar.. abang Yamy tu lelaki.. Amar pun lelaki.. kenapa nak berjabat
salam lama-lama?”
Syazmy memegang tangan Amar dan Khairil untuk
meleraikan salam mereka. Khairil
merenung mata Amar. Amar memang lelaki
yang tenang. Tiada sedikit pun rasa
gentar bila merasai genggaman amaran dari Khairil. Dia masih berlagak biasa. Masih tersenyum.
“
Abang nak kenal dengan ‘saingan’ abang ni..” Khairil memandang Syazmy. Dia mahu Syazmy faham yang dia serius
menginginkan hubungan kasih yang terputus dahulu kembali bertaut. Khairil juga tidak mahu adanya Amar atau
lelaki mana-mana untuk merampas Syazmy.
“ Dia
bukan lagi saingan abang. Abang dah lama
kalah..” Syazmy menyusun kata dengan
beraninya. Khairil memegang lengan
Syazmy. Amar masih menjadi
pemerhati. Sedikit demi sedikit dia
dapat membaca kemelut jiwa Syazmy.
Khairil adalah kekasihnya. Sejak
di Cameron lagi, lelaki itu seolah tidak menyenanginya. Mustahil untuk seorang abang bersikap
sebegitu pada adiknya.. melainkan antara mereka ada ikatan istimewa. Seperti yang Syazmy pernah ceritakan, dia
bukanlah anak kandung kepada pasangan Encik Hamzah dan Puan Rubiah. Jelas sekali.. kerana dia adalah Fitratun
Syazmy binti Marzuki..
“
Emm.. you must be Khairil? I am
Amar.. Amar Hidir..” Amar memulakan perkenalan. Dia tidak mahu melihat Syazmy diapa-apakan di
hadapannya. Khairil berpaling.
“
Khairil… Khairil Aizam..” Khairil
bersuara acuh tidak acuh. Lengan Syazmy
dilepaskan. Dia tidak mahu Amar
terlibat.
“
Sayang-sayang mama.. buat apa berdiri lama-lama dekat pagar tu?” Puan Rubiah melaung mesra. Khairil, Syazmy dan Amar berpaling ke arah
suara itu. Keadaan tegang kembali
reda.
“ Mari
minum.. eh.. Amar pun ada? Masuklah
minum dulu.. Yamy, ajak abang dengan Amar minum sini. Biar abang kenal dengan adik ipar dia tu..” Kata-kata mama membuatkan Amar dan Syazmy
ketawa besar. Tapi itu bukanlah gurauan
pada pendengaran Khairil. Dadanya
semakin membara. Ibarat bara disiram
dengan minyak.. memarakkan rasa
marahnya.
AMAR dan Syazmy melangkah ke meja luar itu
untuk menikmati minum petang yang disediakan.
Khairil mengekori dengan wajah sebal.
Bagaimana dia mahu berpura-pura lagi?
Hakikatnya hatinya terlalu ingin membelasah Amar!!!!
“
Amar.. lama tak datang sini?”
Amar tersenyum mendengar pertanyaan Puan Rubiah itu.
“
Banyak kerja la lately ni, auntie..
ni pun nasib-nasib je dapat jemput Yamy..” Amar memulakan bicara. Dia sopan sekali. Tiada cacat celanya kelihatan.
“ Ummi
sihat? Fifi macam mana?” Pertanyaan demi pertanyaan yang mama hulurkan
pada Amar membuatkan Khairil semakin resah.
Mama tahu semuanya? Apakah ikatan
istimewa telah termeterai antara mereka?
Mama juga melayani baik kedatangan Amar.
Siap bertanya tentang keluarganya.
Syazmy tersenyum mendengar soalan mama.
“ Ummi
sihat alhamdulillah. Masih kuat lagi
menjaga Fifi. Budak tu dah makin
nakal. Banyak kali jugak, dia tanyakan
si Yamy tapi belum ada masa nak bawa dia ke sini. Nak jumpa Nek Bi dia ni..”
“ Tu
dia.. mama dah glamour sekarang..”
“
Glamour hapanya, Yamy. Dah tua
ni.. Kalau papa, yelah glamour.. jadi datuk!!!
Hahahaha..” Mama ketawa
riang. Sedang enak bercerita, kedengaran
enjin kereta papa memasuki kawasan perkarangan rumah..
“ Papa
balik…” Mama melambai ke arah papa. Mengisyaratkan agar Encik Hamzah turut serta
berkumpul bersama. Papa tersenyum manis
menghampiri mereka. Amar bangun serta
bersalaman dengan papa. Papa menepuk
bahu Amar. Amar hanya tersenyum.
“ Amar
dah beritahu Yamy?” Papa bertanya. Dia masih menyimpul senyum. Amar ketawa namun kepalanya menggeleng.
“ Tak sempat nak cakap pun.. abang ipar ajak
berkenalan pulak tadi..” Papa dan mama
ketawa. Amar memang rajin bergurau
dengan mereka.
Syazmy terus bangun
menghampiri papa dan Amar. Ingin tahu
tentang perkara yang dirahsiakan. Mama
dan Khairil hanya memerhati namun ada kuntum senyum di bibir mama. Cuma Khairil seolah menahan dadanya dari
pecah. Rasa marahnya semakin sukar
dikawal. Kemesraan mereka seolah
menyisihkan kepulangan Khairil.
“
Beritahu apa? Amar tak kasitau
pun.. mesti ada hal ni..
cakaplah..” Syazmy memegang
lengan papanya. Papa hanya mengukir
senyuman. Matanya memandang ke arah
Amar.
“ Ini
hal Amar. takkan papa nak kasitau
kot? Biarlah dia kasitau sendiri..”
“
Mar…kasitau la.. sejak bila pandai berahsia dengan Yamy ni?” Syazmy masih memujuk papanya agar membuka
rahsia Amar. amar ketawa.
“ Amar
pandai berahsia sejak Yamy berahsia dengan Amar..” Kata-kata Amar itu membuatkan Syazmy
terhenti. Matanya merenung lembut ke
arah mata Amar. Dia tidak menyangka Amar
mampu berkata-kata begitu. Amar
tergamam. Tidak menyedari yang dia
terlepas kata. Khairil merenung
Syazmy.
“ Bila
Yamy berahsia dengan Amar?” Mama
bertanya hairan. Tidak menyangka yang
antara Amar dan Syazmy yang sudah rapat itu masih lagi mempunyai rahsia
tersendiri. Amar tersenyum sambil
ketawa.
“ Mana
ada berahsia pun..Amar tak sempat nak kasitau lagi tadi.. Amar pun baru tahu
semalam tapi tak sempat nak celebrate dengan Yamy.. sebenarnya semalam Amar dapat sambung balik
kerja dengan syarikat papa tapi secara permanent.. dapat naik pangkat sekali..” Amar mencubit pipi gebu Syazmy. Syazmy melompat memeluk papanya. Jelas sekali dia bergembira dengan berita
yang Amar bawa itu. Namun dia tahu, papa
tidak menilai Amar kerana Amar rapat dengannya.
“ Amar
ingat nak ajak Yamy celebrate tonight.. kita keluar semua sekali la.. Uncle,
auntie dengan abang..” Amar memandang
Khairil. Sengaja dia menekankan
perkataan ‘abang’ untuk Khairil. Dia
mahu lihat reaksi dari wajah atau mata Khairil.
Dia sedar, dirinya sedang dinilai dari mata seorang bekas kekasih. Kali ini, Syazmy harus membuat pilihan. Dia mahu sentiasa bersama Syazmy. Dia mahu bersaing dengan Khairil kalau ada
hanya satu jalan untuk memiliki Syazmy.
“
Wah.. makan besar la ni?” Mama
tersenyum mengusik.
“ Ummi
dengan Fifi?” Syazmy duduk di sisi
Amar. Sengaja ingin menyiram minyak ke
atas api kemarahan Khairil. Kadang-kala
terasa seronok menguji Khairil.. Bukan
dia saja mampu melukakan tetapi Syazmy juga mampu.
“
Mestilah bawa.. lagipun, Fifi dah rindukan ‘ibu’nya..” Usikan Amar itu mengundang tawa pada Syazmy. Sejak kebelakangan ini, dia memang rapat
dengan anak kecil itu. Hingga dia
menyandang gelaran ibu. Apapun, dia
seronok menjadi ibu pada anak yatim itu.
Anak itu mengingatkan dia pada situasi dirinya sendiri. Sebatang kara namun dia beruntung kerana mama
dan papa sudi menjaga dan menatangnya bagaikan minyak yang penuh.
“ Bawa
anak ibu tu datang cepat sini.. rindu sangat ni..” Kata-kata yang Syazmy tuturkan membuatkan
Khairil bingkas bangun. Telinganya
hampir menanah mendengar perbualan yang tidak diketahui hujung pangkalnya.
KHAIRIL masih beku. Dia enggan turut serta dengan Amar. Hatinya seolah jauh daripada keluarga
sendiri. Dia tidak mahu lagi kelihatan
seperti lelaki bodoh dihadapan keluarga Amar nanti.
“
Kenapa tak nak ikut pulak ni?
Amar nak belanja. Tak baik
hampakan orang, Ril. Mama tak pernah
ajar Khairil Aizam jadi macam ni. Tak
hormatkan orang lain..”
“
Mama.. macam mana Ril nak pretend?
Mama nak anak mama ni malu? Jadi
tunggul je.. Ril jadi macam budak bodoh
sebab Ril tak tahu apa-apa pun.. orang lain sibuk berbual tapi Ril lost..” Kata-kata Khairil itu membuatkan mama
terdiam. Khairil di hadapannya bukan
lagi Khairil yang menjadi kebanggaannya.
Anak bujangnya yang dulu tidak pandai melawan sebegini.
“
Khairil? Ini Khairil Aizam
ke?” Kata-kata yang terzahir itu
membuatkan Khairil tergamam. Mata mama
kelihatan memerah.
“
Maafkan mama. Mungkin mama
tersilap didik. Entah di mana silap mama
ketika Ril dan Yamy makin dewasa, mama kehilangan kedua-duanya sekali. Yamy tak seperti dulu dan Ril juga balik tapi
tidak dapat jadi Ril mama yang dulu.
Semua anak mama seolah ada masalah tapi tak pernah fikir yang selama ni,
mama yang selesaikan masalah mereka sampai mereka pandai berfikir sendiri. Sekarang, sejak dah pandai, semuanya nak
selesaikan sendiri dan nak atur hidup sendiri..” Luahan mama membuatkan Khairil tergamam. Syazmy juga tersandar. Dia baru mahu melangkah berjumpa dengan
mama. Namun apabila dia mendengar
keluhan mama, dia tersandar. Sungguh,
dia tidak sedar yang mama banyak terasa hati dengannya. Mama banyak menahan rasa dengan sikapnya
sejak putus kasih.
No comments:
Post a Comment