Monday, 7 October 2013

:::Biarkan Aku Sendiri:::


Tiga belas


SYAZMY menyirami air Yassin di kuburan sang suami.  Setiap hari berlalu, dia belum pernah melupakan Amar.  Segalanya seperti segar di ingatan.  Kehadiran Amar, kesabarannya dan pengorbanan besar yang dilakukannya tidak patut dilupakan. 

HARI berganti hari.  Kehidupan harus diteruskan.  Siapa sangka.. segalanya semakin rumit apabila, syarikat Tremendous Tower, tempat Syazmy mencari rezeki adalah milik Amar sepenuhnya.  Lelaki itu telahpun menyerahkan hak milik syarikat itu kepadanya.  Bak kata mama, segala kejutan harus dihadapi.  Amar pergi terlalu cepat dan kini semua hak miliknya pula menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.  Yang dia tahu, segala milik Amar adalah milik Fifi dan apabila sampai masanya, semua itu akan diberi kepada Fifi.  Syazmy hanya sebagai pemegang amanah. 

KAKI Syazmy melangkah laju.  Rindu pada suasana rumah itu mendorongnya kembali.  Ketika Syazmy melangkah ke arah dapur, kedengaran suara-suara berbual mesra. 
  Ril!!”  Kedengaran suara perempuan menjerit halus.  Manja dan mesra bunyinya.  Syazmy menelan liurnya.  Dari arah belakang, mata dan telinganya sedang menjamah setiap kemesraan yang terbina.  Leya sedang menuang adunan seperti kek.  Khairil ketawa mengusik Leya.  Syazmy tersenyum tawar.  Itulah kenangan yang pernah dimiliki bersama Khairil dahulu.  Kemesraan dan kehangatan kasih sayang Khairil yang tidak berbelah bahagi..  Kini, lelaki itu milik gadis lain.  Gadis yang menyayanginya sepenuh hati.  Khairil menanggalkan sepit rambut tunangannya itu.  Dia ligat mengusik gadis itu.  Puan Rubiah cuma memandang sambil tersenyum penuh makna.  Mungkin hati Khairil telah terbuka untuk menerima Leya seadanya.  Lagipun, gadis itu tiada kurangnya. 
  Ril!!  Sepit balik rambut Leya..  ish.. Ril!! Janganlah main-main.  Leya tengah buat kek ni..”  Leya menjerit manja.  Khairil hanya tersenyum.  Namun selepas itu, kelihatan Khairil mendekati Leya dan menyepit semula rambut lurus itu.  Syazmy tersentap.  Ada rasa pedih yang sedang menjalar di dalam hatinya. 
  Mama..”  Syazmy mengumpul semangat bersuara sambil menyusun langkah ke dapur walaupun suaranya kedengaran sumbang mengalun rasa ikhlas.  Seluruh mata tertuju padanya.  Khairil tergamam.  Terasa kesat liur yang ditelannya.  Puan Rubiah meluru memeluk tubuh anak gadisnya itu.  Tampak tidak sesegar dahulu.  Mungkin tanggungjawab yang dipikul semakin memberat. 
  Langkah kanan rupanya Yamy hari ini.  Kak Leya datang nak belajar buat kek favourite abang.  Tapi belum boleh kalahkan Yamy lagi..”  Puan Rubiah sibuk menceritakan tentang Leya.  Syazmy tersenyum sambil melarikan pandangan matanya dari Khairil. 
  Ish.. rasanya, Yamy dah kalah ni..  Kak Leya dah dapat tempat Yamy ni.”  Syazmy bersuara.  Dia jauh hati melihat suasana mesra itu.  Kehadirannya seolah tidak menceriakan seisi rumah malah, Leya benar-benar mengambil tempatnya hingga bilik utamanya dijadikan bilik persinggahan Leya dan seluruh pakaian kesayangannya menjadi basahan buat Leya di rumah itu dan lebih melukakan, baju yang sedang dipakai oleh Leya itu adalah baju kesayangannya.  Baju yang diberikan oleh Khairil semasa mereka mula berkasih dahulu.  Satu per satu miliknya kini semakin melenyap.  Semuanya sudah kabur. 
                      
SYAZMY menyisir rambutnya.  Ketika jemarinya mengambil keronsang untuk dipadankan dengan tudungnya, bingkai gambar yang terletak di atas meja soleknya terjatuh.  Syazmy mengambil bingkai gambar itu dan dia mengusap gambar insan-insan kesayangannya.  Mama, papa dan Khairil tersenyum memeluknya ketika di Cameron Highlands.  Indah sungguh detik itu.  Manis dan segar di ingatan.  Kini, segalanya hanya tinggal kenangan.  Hatinya tawar untuk pulang.  Segala miliknya sudahpun tiada erti.  Pakaiannya, biliknya, ibu bapanya serta Khairil sendiri sudah mempunyai pengganti.  Kini rumah itu disinari oleh Leya.  Leya sudah menjadi dirinya.  Jadi, tiada lagi sebab kukuh untuk dia melawat mama dan papa.  Setiap kali kehadirannya di rumah besar itu, tiada satu saat pun mama dan papanya meluangkan masa untuk berbual dengannya.  Semua masa yang mereka ada hanya untuk Leya, bakal menantu yang menjadi kesayangan mereka.  Airmata Syazmy tumpah.  Rasa sedih mula bermukim.  Rasa rindu mula bertamu.  Rindu pada kenangan lamanya di rumah lama itu. 

Syazmy memeluk sayang tubuh Fifi.  Pipi itu dikucup sayang.  Ummi menggelengkan kepalanya.  Fifi memang semakin manja dengan Syazmy.  Kadang-kala dia tidak mahu Syazmy hanya memikirkan keluarga itu sahaja.  Keluarga Syazmy memerlukan perhatian juga.. 
  Yamy..  jangan dimanjakan Fifi ni..”  Ummi mencelah.  Dia hanya memerhatikan gelagat dua beranak itu.  Syazmy tersenyum manis.  Siapa lagi yang ingin dimanjakan?  Fifi adalah kesayangan Amar dan anak kecil itu banyak menyimpan kenangannya bersama Amar.  Dia tidak mahu terlewat lagi untuk mencurahkan kasih sayangnya pada insan yang sepatutnya berhak.  Dia tidak mahu menyesal seperti mana dia terkilan apabila Amar pergi tanpa merasai sentuhannya. 
  Yamy tak mahu Fifi merasai kekurangan kasih sayang lagi.  Yamy ada untuk menyayangi dia..”
  Yamy banyak berkorban.  Dalam usia semuda ini, jalan Yamy sudah pun berliku..”
  Yamy redha, ummi.  Malah Yamy beruntung sebab Yamy berpeluang untuk berjasa dengan ahli keluarga Yamy sendiri.  Yamy tetap pegang kata-kata Abang Amar pada Yamy..  kehidupan lain bukan kepentingan buat Yamy.  Ummi dan Fifi adalah kepentingan Yamy lainlah kalau ummi dah tak sukakan kehadiran Yamy..” 
  Yamy.. jangan cakap macam tu.  Ummi tak suka.  Pada ummi, kalaulah ummi ada anak lelaki yang lain, ummi nak Yamy tetap jadi menantu ummi.  Amar begitu bertuah dan beruntung kerana memilih Yamy.. terima kasih Yamy.  Terima kasih sebab mencurahkan kasih sayang Yamy.”  Ummi memeluk erat tubuh Syazmy. 
  Tapi.. ummi nasihatkan Yamy.. jangan terus membuang keluarga Yamy.  Mama dan papa selalu tanyakan khabar Yamy.  Yamy jangan buat macam ni..”  Syazmy terdiam mendengar nasihat mentuanya.  Bukan dia tidak merindui mama dan papa.  Pada sebuah wajah yang sentiasa menghiasi malam-malam sunyinya namun dia tidak lagi betah ke sana.  Setiap kali Syazmy bertandang, matanya semakin sakit melihat kemesraan Leya dan Khairil.  Kehadiran Leya membuatkan dirinya tersisih.  Dia mahu bersikap biasa seperti Khairil namun hatinya hancur setiap kali melangkah ke rumah itu.  Luka hatinya tak terlihat tetapi amat menyakitkan.  Dia mahu melupakan Khairil sepertimana lelaki itu mampu melupakannya. 

SYAZMY kelihatan gembira.  Tangannya ligat menyuai padan beberapa helai baju dengan tubuh kecil gadis yang bersamanya.  Seorang wanita turut tersenyum sambil memberikan pendapat sambil menggeleng atau mengangguk.  Keluarga itu sangat gembira walaupun kekurangan.  Khairil mengekori Syazmy dari jauh.  Melihat senyuman manis di bibir Syazmy bagaikan mengguris luka di hatinya.  Syazmy sudah tidak lagi pulang ke rumah.  Bukan sekali nama Syazmy meniti bibir mama dan papa namun tiada sekali pun Syazmy datang menjenguk keluarganya. 

SYAZMY menatang dulang berisi minuman untuk mereka bertiga.  Namun apabila dia melangkah untuk mencuci tangan, lengannya ditarik lembut.  Khairil merenungnya dekat.  Syazmy menarik lengannya dari pegangan Khairil namun genggaman Khairil semakin kejap dan kemas. 
  Lepaskan Yamy.. sakitlah!!”  Syazmy separuh berbisik sambil matanya melilau memandang ke arah ummi dan Fifi.  Dia enggan membiarkan mereka melihat perkara ini.  Dia tidak mahu ummi mengesan hubungannya dengan Khairil pernah melebihi batas seorang abang dan adik. 
  Tahu pulak sakit?  Hati abang sakit, Yamy tak fikir?”
  Apa ni?  Bila Yamy sakitkan hati abang?  Lepaskan Yamy, abang.  Malu kalau Fifi nampak..”
  Yamy dah semakin berubah.  Buang keluarga sendiri.  Ada pernah Yamy jenguk mama dengan papa kat rumah?  Yamy hanya pentingkan Fifi. Fifi, Fifi and Fifi.  Just Fifi!!  Tak ingat jalan rumah?  Siapa Fifi tu pada Yamy?  Anak tiri yang tidak patut mengorbankan masa depan ibu tirinya yang muda.” 
  Shut up.. why do you care about me?  I am not yours!!  Buat apa balik rumah kalau mama dan papa dah ada Leya.  Everytime hanya Leya yang ada dengan mama dan papa.  Bila Yamy ke sana, Yamy macam tunggul..  Buat apa Yamy nak buat diri sendiri tak dihargai. ”
  Yamy tersilap!  Leya bukan pengganti Yamy.  Ingat, Yamy..  You are mine!!  Forever!  Kehadiran Amar memang membuatkan abang melepaskan Yamy tapi tidak lagi pada lelaki lain..  Yamy takkan bersama lelaki lain!”
  You’re insane!!  I am going to be with whoever I like to be with!!  Get lost!”  Syazmy terus merentap tangannya.  Pedih terasa kerana cengkaman tangan Khairil agak kuat.  Deringan telefonnya mula kedengaran.  Nama Leya terpapar. 
   Ril kat mana?  Leya dah ada kat dalam kereta ni..”  Suara Leya seakan menghidu kecurangannya. 
  Ril nak turun ni..”  Khairil terus menamatkan panggilan itu lantas merenung Syazmy buat kali akhir sebelum berlalu. 

SYAZMY menghampiri meja makan itu.  Fifi tersenyum manis. 
  Kenapa ibu lambat sangat?  Kami dah makan separuh dah..”
  Ibu beratur nak basuh tangan..”  Syazmy memberi alasan.  Hakikatnya kepalanya begitu berserabut. 
  Eh.. kenapa dengan lengan ibu ni?  Merahnya?”
  Tak ada apa-apa, sayang..  ibu terlanggar dinding tadi..”  Syazmy terus berdoa untuk memulakan makan.  Dia enggan merenung mata mentuanya.  Ummi hanya memandang gelagat Syazmy dan dia tahu mata tuanya tidak akan tersilap menilai.  Lelaki yang memegang lengan Syazmy itu adalah Khairil.  Namun dia enggan terus menyerang menantunya itu.  Biarlah masa membuka rahsia Khairil dan Syazmy. 

No comments:

Post a Comment