Tuesday, 8 October 2013

:::Biarkan Aku Sendiri:::


Tiga puluh dua

ENCIK Hamzah memerhati tetamu yang masuk ke kafe itu.  Dia menanti kehadiran Ilham dengan sabar.  Dia memang lebih suka datang awal.  Lebih baik menanti dari menjadi dinanti.  Sebentar kemudian, sesusuk tubuh yang dahulunya tegap kini sudah kelihatan sedikit susut sedang menolak pintu kafe itu.  Lelaki itu tersenyum.  Itulah Ilham.  Menantu pilihannya.  Menantunya yang baik. 
  Papa…”  Salam dihulur.  Ilham menghormati lelaki yang banyak membantunya sekian lama dahulu.  Namun, dia telah mengecewakan hati tua itu.  Dia gagal menjadi nakhoda terbaik untuk mengemudi rumahtangga yang masih setahun jagung. 
  Am sihat?”  Lelaki tua itu bertanya sambil mempersilakan menantunya duduk.  Ilham mengangguk sambil tersenyum. 
  Sihat, pa.  Papa sihat?” 
  Sihat orang tua, Am… how’s your life?”  Encik Hamzah sekadar berbasa-basi sementara menanti pesanan makanan mereka sampai.  Wajah Ilham mulai berubah riak. 
  Getting worse, pa.. I just can’t help myself..  penat.. rindu.. semuanya ada..”  Ilham meluah perlahan.  Dia rindu pada suasana indah berkeluarga seperti dahulu.  Kini, memandang senyuman malah memandang wajah Syazmy sahaja juga, dia sudah tidak mampu.  Redup mata itu tidak dapat ditatap.  ‘Ah.. sungguh dia rindu pada semuanya..’
  Doa itu senjata orang mukmin.. banyakkan berdoa, Am.. papa rasa Am masih ada peluang cuma jalannya tidak mudah.  Syukurlah ada pengikat antara kamu berdua.  Yamy tu hidup dalam pelbagai kisah, Am..” 
  Banyak rupanya yang saya tertinggal dalam kisah Syazmy..”  Separa menyesal Ilham bersuara.  Encik Hamzah tersenyum tipis.  Tidak manis dan tidak juga tawar.  Lebih kepada senyuman tidak berperisa. 
  Banyak, Am.. terlalu banyak… namun dia anak yang baik.  Apa yang Yamy tak pernah buat?  Semua permintaan kami tak pernah ditolak.  Dia sedar tentang wujudnya sekadar anak angkat.  Papa memang tak pernah tahu tentang hubungan Yamy dan Khairil sebelum ini.  Papa tahu bila hubungan mereka dah tamat.  Itupun dari mulut mama.  Yamy dan Khairil sebenarnya tak pernah bersalah.  Soal hati dan perasaan bukan boleh kita tahan, Am.  Bayangkan betapa susahnya Syazmy dan Khairil menahan perasaan mereka.  Sedangkan Am sendiri tak mampu nak menahan perasaan Am saat Am pernah ditinggalkan dahulu.  Apatah lagi mereka yang berkongsi bumbung yang sama.  Mungkin didikan papa ada kurangnya tetapi papa tidak mampu mengawal perasaan orang.  Saat kamu berdua papa kahwinkan, saat itu, papa memang sengaja cari masa Khairil tiada.  Memang rancangan papa untuk menghalang perasaan mereka dari berputik kembali.  Papa memang sengaja mengecewakan Khairil.  Ini adalah keputusan yang papa buat dan akhirnya kini, Syazmy masih belum bahagia.”  Encik Hamzah menghela nafas.  Ilham masih bersandar mendengar luahan papanya. 
  Maksud papa?  Perkahwinan kami, papa memang tentukan untuk Syazmy?”
  Betul.  Kan papa dah kata, dia anak yang baik, Am.  Tak pernah dia mengecewakan papa selain kisah cintanya yang lapuk dengan Ril.  Apa yang buat papa kecewa, papa masih tak mampu membuat Syazmy gembira.  Selepas perkahwinannya dengan arwah Amar, dia melalui banyak kesukaran.  Bersama Fifi dan seluruh kehidupannya berubah 100%.” 
  Kalau masa mampu diundur, Am berjanji takkan menuturkan talak tanpa berfikir.  Anak kami takkan terkorban dengan Ril.  Semuanya begitu sukar untuk dimaafkan.  Yamy juga bukan isteri yang tidak baik, pa.  dia sempurna sebagai seorang wanita.  Sabar, senyum dan dia ibu yang baik.”  Ilham seolah kesal.  Matanya terpejam.  Dia sangat terseksa bila keadaan mereka terpisah sebegini.  Memikirkan saat-saat sukar Syazmy lalui bersama bayi dalam kandungannya membuatkan dia semakin dibelasah rasa bersalah yang semakin menggunung.  Syazmy memerlukan sokongan dari sang suami dan dia telah memijak gelaran itu dengan kakinya.  Syazmy kini tidak pernah menghubunginya. 

ILHAM memanggung lengan di dahinya.  Pertemuan petang tadi bersama mertuanya terlayar.  Satu demi satu cerita sebenar kisah hidup Syazmy terakam.  Wajah kesal Encik Hamzah, wajah polos Syazmy serta wajah Khairil muncul bersilih ganti.  Ilham menghela nafas lembut. 

  Liku-liku hidup Syazmy tak semudah mana, Am.  Dia bergelar anak yatim dari kecil Am… tapi dia tabah.  Dia tahu dia hanya anak angkat dan dia memang tidak pernah menyusahkan kami.  Papa akui papa banyak tak menerangkan perkara sebenarnya pada Am.  Sebab tu perselisihan ni terjadi.  Dan Syazmy mungkin takut meruntuhkan kebahagiaan kamu berdua.  Sebab itu dia tak membuka cerita lama ni.  Memang Syazmy pernah bercinta dengan Khairil dan kami memang tak pernah tahu apa-apa, Am.  Mungkin kami salah sebab kami tak mengambil tahu hal anak-anak kami yang terlalu rapat.  Yang papa tahu, mereka tak melampaui batas-batas.  Rapat itu mungkin membawa mereka seolah belangkas namun segalanya masih terkawal di hadapan mata kami..  kisah cinta mereka, hanya mereka yang tahu.  Bila Khairil balik dari pengajiannya, mereka sudah dingin dan barulah mama dapat tahu mereka pernah bercinta.  Syazmy pernah jatuh sakit kerana perhubungannya dengan Khairil terputus dahulu.  Dia terseksa, Am.  Putusnya hubungan Khairil dan Yamy membawa kepada perkenalan dengan Amar.  Amar yang sangat rasional dan memahami.  Papa puji Amar.  Dia tahu tentang Khairil dan dia sanggup menanti Yamy berterus-terang.  Sayangnya ajal Amar sampai terlalu awal.  Syazmy merana lagi..” 

Ilham memejamkan matanya.  Satu demi satu kisah itu dihadam dari bibir Encik Hamzah.  Perit ulu hatinya.  Mengapa dia tidak bersikap matang?  Mengapa bibirnya begitu ringan melafaz kata perpisahan? 

  Kau betul-betul silap besar, Am…”  Suara Khairil seolah kesal. 

Kalaulah Ilham sempat bersabar dan mendengar nasihat arwah Khairil, tentu hal ini tidak akan berlaku.  Tubuhnya mengiring pula.  Wajah sayu Syazmy mengisi tubir matanya. 

  Put yourself in my shoes.. it’s not fun experience.. being divorced, my only son accident in front of my eyes with my brother..  all in one night.. semuanya tak boleh diundur.  Kalau semuanya boleh diundur dan saya dapat tengok abang saya berdiri dan anak saya berlari, saya akan terima awak dan maafkan awak.. try it, Am..” 

Airmata Ilham mengalir perlahan.  Ya, jauh di sudut hatinya, dia terlalu kesal.  Kesal kerana membiarkan amarah menguasai dirinya.  Kesal kerana dia pernah menyangka yang dia mampu hidup tanpa Syazmy saat lafaz itu terzahir dari bibirnya.  Kesal kerana dia hanya dapat menggenggam bahagia buat seketika sahaja.  Mengapa dia tidak berbincang dengan Syazmy sejak dari awal?  Mengapa dia tidak pernah mahu tahu kisah isterinya sebelum berkahwin dengannya?  Mengapa dia tidak dapat membaca yang setiap saat Syazmy begitu takut dengan keruntuhan rumahtangga?  Mengapa?  Dan mengapa dia hanya mendengar kisah dari bibir Leya tanpa meminta penjelasan yang lebih pasti dari Syazmy?  Adakah hatinya puas dengan penjelasan dari satu pihak hingga membawa keruntuhan sebegini? 

KISAH yang terbongkar dari Encik Hamzah itu tidak tercerna.  Ilham memejamkan matanya.  Suara mertuanya terngiang-ngiang di telinganya. 
  Papa merancang majlis perkahwinan Am dan Yamy ketika Ril di Sarawak memang ada sebabnya.  Papa tidak mahu membiarkan cinta lama Yamy dan Ril semarak semula juga ada sebabnya.  Dan rahsia itu semakin terbongkar secara perlahan-lahan.  Ilham, baru-baru ini, keluarga kandung Yamy ada datang..”
  Keluarga kandung?”  Wajah Ilham seolah pucat kehilangan darah. 
  Pak Usu Yamy.. dia datang dari jauh.  Dari Labuan.. Arwah ayah Yamy memang ada cerita dengan papa tentang Pak Su Yamy.. tapi tidak terlalu detail.. yang papa tahu, sebenarnya, sebelum ayah dan mak Yamy berkahwin, mak Yamy pernah berkahwin dengan sepupunya.  Dan rumahtangga mereka tidak sampai setengah tahun pun..  mereka berselisih pendapat dan bercerai.  Selepas urusan penceraian selesai, bekas suami mak Yamy terus menghilang dan tidak mengirim apa-apa berita.  Bertahun lamanya mereka berdua tidak bersua muka dan keluarga menjadi mangsa.  Huru-hara.  Kalau bekas suami mak Yamy balik, mak Yamy takkan jejak ke rumah itu.  Sukarnya berkahwin dengan orang yang rapat.  Dan jika tidak sehaluan, padahnya pada sekeliling.  Itulah yang papa fikirkan sejak papa tahu tentang hubungan Syazmy dan Khairil.  Papa sanggup meminta Yamy membalas budi keluarga papa dengan mengikat perkahwinan dengan Ilham.  Papa tak mahu kehilangan Ril atau Yamy dari keluarga…”  Encik Hamzah ketawa tawar. 
  Papa… Am yang sepatutnya berfikir secara rasional.  Kenapa Islam memberatkan lafaz cerai itu?  Kerana mahu ketua keluarga itu mencari jalan damai dengan cara baik.  Am tidak berjaya, pa.  Am adalah nakhoda yang membawa kapal untuk dihancurkan oleh ribut.  Am yang membiarkan ribut menghempas kapal Am tanpa cuba berbuat apa-apa.  Sepatutnya Am menjadi lelaki yang meluruskan rusuk yang bengkok itu dengan cara yang betul supaya tidak terlalu lembut sehingga tidak mampu lurus dan tidak terlalu keras supaya ia tidak patah..”
  Papa juga tersalah anggap.  Papa tidak berfikir tentang perasaan Khairil.  Kalaulah Ril berterus-terang dan bertegas tentang Yamy.  Tentu tidak sejauh ini tindakan papa..”
  Papa… jangan papa kata papa kesal hingga sampai ke tahap ni.. Syazmy adalah perkara terbaik pernah berlaku dalam hidup Am.  Tolong jangan kesal, pa.. jangan pa..”  Lirih suara Ilham.  Sungguh, dia tidak sanggup berfikir jika mertuanya itu kesal menjodohkan mereka.  Dia akan terasa pedih menjalar ke dalam hatinya saat terfikirkan jika Syazmy kembali pada Khairil dan perkahwinan mereka itu adalah kesilapan. 

ILHAM bangun dari baringannya.  Dia bersandar.  Fikirannya terlalu jauh berfikir malam ini.  Bertemu empat mata dengan mertuanya telah mengisi ruang kosong di dalam petak fikirannya.  Seperti mencantumkan cebisan puzzle.. semakin lama, penyelesaiannya semakin nampak, namun lengkapnya puzzle itu tidak semestinya Syazmy akan kembali menerimanya.  Ilham menarik nafas panjang.  Dia bangun dan menuju ke bilik air.  Dia mahu menenangkan diri dengan mendekatkan diri kepada-NYA.  Dia mahu meminta pertolongan-NYA.  Memberi damai dan mengembalikan bahagianya dahulu. 

No comments:

Post a Comment