Monday, 7 October 2013

:::Biarkan Aku Sendiri:::


Dua puluh tujuh

  ILHAM bukan begitu..”  Suara lembut perempuan itu masih dibiarkan.  Kantin mahkamah itu lengang.  Dia datang bukan untuk mendengar penjelasan wanita yang tertangkap bersama suaminya itu.  Dia tahu Ilham bukan begitu.  Dia datang kerana Ilham memaksanya untuk melihat dia membela diri.  Jika hatinya tidak dilukai, dia pasti mahu menyokong Ilham saat seluruh dunia menentangnya.  Jika benar Ilham mahu melakukan perkara yang tidak baik, sudah lama dia melakukannya. 
  Saya tahu…”  Syazmy bersuara perlahan.  Dia menilik wajah dan diri wanita yang sedang berhadapan dengannya.  Kaca mata hitamnya menyembunyikan matanya yang meliar. 
  Saya perangkap dia…  dia tidak tahu..”  Maya masih meneruskan bicaranya. 
  Cik Maya…  dia suami saya.. saya harus percayakan dia  dan yang saya tahu, kerana peristiwa hitam ni, ada perkara selesai antara kami.  Saya maafkan Cik Maya.  Mungkin Cik Maya masih mentah dalam hal begini..”  Mata Maya mula memerah.  Dia kalah pada kelembutan bicara dan kesantunan Syazmy.  Dia mula terasa bersalah kerana mengheret Ilham ke dalam kes ini.  Ilham tidak akan mahu mengahwininya dan Ilham juga membatalkan urusniaga di Langkawi kerana kes ini. 
  Kita perempuan, Maya.  Kita perosak dunia…  jadi, berhenti dari menjadi pemusnah.. bangunlah untuk jadi pendorong.  Pendukung lelaki saat mereka sukar.  Taraf kita sudah dibangkitkan oleh Rasullullah..  janganlah kita hina diri kita hanya untuk mendapat erti hidup yang bahagia  sedangkan ia hanya kemanisan sementara..”
  Cik… maafkan saya….”  Suara Maya sudah teresak-esak.  Nasihat isteri Ilham itu bagaikan menghukumnya.  Dia menyesal kerana memerangkap Ilham. 
  Berhenti menjadi sebegini rendah…dan terima kasih kerana membawa suami saya kembali..”  Syazmy memegang jemari Maya.  Dia bangun dan lantas menuju ke arah Ilham.  Ilham melambai ke arahnya.  Namun, memandang wajah lelaki kesayangan yang melukakannya itu, hatinya tersayat semula.  Mungkin benar, Maya membawa suaminya kembali namun perkara terpendam itu masih belum selesai. 

TAMAN permainan itu dipenuhi dengan kanak-kanak yang sedang riang bermain.  Syazmy memerhatikan segala gerak laku anak-anaknya bermain.  Fifi sedang bermain bersama Haziq dan beberapa anak kecil yang lain.  Syazmy tersenyum manis.  Fifi sudah membesar dengan baik.  Semuanya berlalu dengan baik walaupun dia melalui saat-saat sukar.  Amar, rindu itu datang menyapa.  Arwah sang suami dan arwah mertuanya pasti tidak menyesal meninggalkan Fifi disisinya.  Dia menyayangi Fifi bagaikan anak kandungnya.  Rezekinya bersama Tremendous Tower juga semakin murah.  Bekerja dari rumah dan kadang-kala memantau syarikat Amar memberikan kepuasan yang tidak terhingga.  Dia mahu menanti sehingga usia Fifi matang untuk menyerahkan syarikat arwah Amar untuk dikendalikan seeloknya.  Dia yakin Fifi mampu menjadi yang terbaik kerana dia lahir dari keluarga yang baik. 
  Fifi… jangan main jauh-jauh sayang..”  Syazmy melaung.  Jemarinya memimpin jemari kecil Haziq yang sedang riang menghitung langkah-langkah awalnya. 
  Ibuuu….”  Fifi melambai manja sambil menggelongsor.  Petang-petang begitu, dia suka menghabiskan masa di taman permainan seperti itu.  Tiada permandangan yang maha indah selain dari melihat gelak tawa kupu-kupu syurga di taman itu.  Tiada terbeban oleh masalah dunia, kanak-kanak itu hidup dalam dunia yang penuh riang.  Syazmy berpuas hati dengan apa yang dia ada kini.  Semuanya serasa sempurna sebagai hamba ALLAH. 
  Ayahhhh…”  Fifi melambai ke arah Ilham.  Ilham melambai sayang ke arah Fifi.  Dia melangkah mendekati Syazmy dan Haziq.  Ilham tersenyum manis.  Dia masih berpakaian pejabat.  Tali lehernya sudah tersimpan kemas di poket hadapan bajunya.  Sekalipun baru pulang dari kerja seharian di pejabat, Ilham masih tampak segak dan segar di mata Syazmy.  Syazmy mendukung Haziq dan menghampiri Ilham.  Ilham mengusap kepala anaknya dan mengambil Haziq dari dukungan Syazmy.  Syazmy mencium jemari kasar saat mereka bersalaman dengan suaminya.  Itu adalah rutin hariannya yang sukar dikikis. 
  Awal balik hari ni?”  Syazmy bertanya lembut.  Ilham merenung lembut ke dalam mata isterinya.  Syazmy tersenyum manis. 
  Yamy dah tak mogok dengan abang ke…?”  Soal Ilham semula.  Bagaimana Syazmy boleh berperangai biasa? 
  You are my husband, abang.  Always remember that..”  Syazmy memegang lembut pipi Ilham.  Perubahan Ilham memang dijangka disebabkan oleh masalah yang berkait dengan dirinya.  Ilham kelihatan berlainan sekali saat berhadapan dengan Khairil kali terakhir ketika di restoran hari itu.  Selama ini, Ilham tidak pernah memberi reaksi sebegitu terhadap Khairil.  Namun dia tidak tahu apakah sebabnya.  Dia mahu bertanya namun andai Ilham tidak mahu berkongsi, dia tidak mahu memaksa.  Dia cuma tidak mahu memanjangkan sengketa.  Jika Ilham memulakannya, mengapa harus dia menyambungnya?  Bukankah rasa itu sakit dan pahit.. mengapa dia harus menambah lagi rasa pahit itu.  Dia mahu seperti biasa. 
  Thank you Yamy…  Dah tak marahkan abang kan?”  Ilham bertanya. 
Syazmy mengangkat bahunya.  Membiarkan Ilham tertanya sendiri.  Syazmy tahu yang Ilham mungkin terperangkap dengan kursusnya di Langkawi namun antara mereka masih ada yang belum selesai.  Dia masih menanti Ilham untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka dahulu hingga Ilham tegar menolaknya.  Syazmy melambai-lambai Fifi untuk sama-sama pulang kerana petang sudah merangkak untuk ke senja.  Dia tidak mahu mengajar anak-anaknya keluar saat senja.  Fifi berlari-lari anak menuju ke arah Syazmy serta Ilham yang mendukung Haziq.  Mereka sekeluarga melangkah bersama-sama untuk pulang. 

LEYA menolak tubuh Khairil.  Rombongan yang datang pagi tadi telah memutuskan ikatan mereka secara rasmi dan beradat.  Khairil hanya membisu.  Dia benar-benar tidak faham, mengapa gadis itu begitu menggilainya. 
  Lupakan saya.  Awak akan jumpa dengan jodoh awak selepas ini.  Saya bukan jodoh awak..”  Khairil bersuara lembut.  Dia mulai membenci gadis yang berada di hadapannya ini.  Kehilangan ingatannya tidak menyuburkan langsung perasaan sayangnya pada gadis itu.  Malah perasaannya terhadap gadis itu di tahap sifar. 
  Awak tak boleh buat saya macam ni..  awak dah janji dengan saya nak bina hidup sama-sama dengan saya..”  Leya menjerit.  Dia seolah mula hilang kawalan diri.  Khairil hanyamendiamkan diri.  Pertemuan mereka di taman bunga petang itu tidak seindah mana.  Selepas rombongan keluarganya memutuskan pertunangan mereka, Leya menelefonnya dan marah-marah untuk bertemu. 
  Saya tak dapat memenuhi janji saya pada awak.   Maafkan saya.  Lebih baik kita putus daripada awak terseksa bila kita berumahtangga nanti.  Saya tak nak aniaya awak dan saya tak mahu aniaya diri saya sendiri.  Awak bukan gadis kesayangan saya.  Bukan di hati, bukan juga pada minda.  Memupuk rasa kasih terhadap awak adalah perkara yang paling sukar untuk saya lakukan.  Percayalah, Leya.  Saya bukan tidak pernah mencuba.  Saya pun manusia yang mahu hidup bahagia..”  Khairil berterus-terang. 
  Ini mesti sebab Syazmy!!!!  Syazmy memang suka bila tengok awak tinggalkan saya.  Walaupun ingatan awak hilang, dia masih menguasai awak!!!!  Ril, kalau saya tak dapat awak, Syazmy tidak akan mendapat awak.. kalau dulu Ilham tak lepaskan Syazmy, kali ini saya akan pastikan Syazmy merana!!”  Leya menjerit-jerit.  Khairil mengerutkan dahinya.  Dia tidak faham tentang kaitan Syazmy dengannya.  Adakah perhubungannya dengan Syazmy melebihi status adik dan abang?  Apa sebenarnya yang terjadi?  Khairil memegang erat jemari Leya.  Dia mahu tahu apapun kebenarannya. 
  Apa awak cakap?  Cakap!!!”  Suara Khairil yang melengking mengecutkan Leya.  Khairil tidak pernah marah sampai sebegitu.  Leya tergamam.  Airmatanya yang keluar tidak melemahkan Khairil.  Leya terkaku dan bercerita tentang hal mereka dari awal hingga ke akhir.  Khairil mengeluh lembut.  Patutlah dia mempunyai perasaan aneh terhadap Syazmy.  Rupa-rupanya perasaan itu memang pernah ada dalam jiwanya sejak dahulu.  Sayangnya Syazmy bukan lagi miliknya.  Syazmy sudah dimiliki oleh lelaki lain dan dia harus sedar yang Syazmy tidak mungkin dapat dimiliki.  Ada hikmahnya dia hilang ingatan.  ALLAH mahu dia melupakan wanita yang pernah bertakhta di dalam hatinya. 
  Leya… dengar..  saya mungkin memang bukan jodoh awak.  Andaikan satu hari nanti, ditakdirkan awak dan saya kembali semula bertemu, mungkin memang sudah tertulis takdir antara kita namun andainya selepas ni, kita tidak lagi bertemu, saya mendoakan semua yang terbaik untuk awak.  Terima kasih sebab bercerita tentang Syazmy pada saya.  Saya nak awak tahu, walaupun hati saya masih bersisa rasa kasih padanya, saya bukan lelaki yang akan berbahagia atas kesedihan lelaki lain.  Syazmy sudah berkeluarga dan sudah bahagia.  Cinta itu bukan sekadar mencintai dan rasa ingin memiliki.  Cinta itu juga apabila kita berbahagia melihat orang yang kita sayang juga bahagia.  Saya bahagia bila tahu dia berbahagia dengan keluarganya.  Mungkin lelaki itu lebih baik daripada saya.  Saya redha dengan semuanya.”  Khairil menutup pertemuannya dengan Leya.  Dia terus melangkah dan membiarkan Leya berfikir.  Leya menangis saat melihat kelibat Khairil menghilang.  Kata-kata yang teresap ke dalam jiwanya adalah ayat cintanya.  Cinta itu bukan sekadar mencintai dan rasa ingin memiliki.  Cinta itu juga apabila kita berbahagia melihat orang yang kita sayang juga bahagia.’  Leya berbisik sendiri pada dirinya. 

PANGGILAN daripada Khairil mengejutkan Syazmy.  Entah mengapa jantungnya berdebar tanpa mahu berhenti.  Dia terus menghubungi Ilham.  Dia mahu Ilham tahu.  Memandangkan perhubungan mereka mula pulih walaupun lelaki itu masih mengunci mulutnya dari bertanya.  Dia enggan lelaki itu terasa dibelakangi.  Namun talian tidak bersambung.  Dia cuba menghubungi pejabat lelaki itu namun tiada yang mengangkat.  Matanya melirik ke arah jam di dinding.  Dah waktu makan tengah hari.  Namun jemarinya masih menaip patah-patah perkataan untuk memberitahu lelaki itu. 

‘Abg.. Yamy jumpa Abg Ril..  I want your bless and please don’t ever think bad..  I love you..  I will update anything.. We will come clean about this matter..’ 

Pesanan itu dihantar ke talian telefon bimbit suaminya meskipun dia tahu suaminya menutup telefon bimbitnya.  Mungkin bermesyuarat atau baterinya tidak bercas.  Sekurang-kurangnya dia tidak rasa bersalah tidak memaklumkan kepada Ilham dan dia tidak mahu menyesal kerana tidak menyelesaikan masalah dengan Khairil.  Dia berharap agar langkahnya ini tidak sumbang atau tidak dipandang serong.  Lantas, dia tetap memaklumkan mertuanya tentang pertemuannya dengan si abang.  Dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul. 

  UMI.. Yamy mintak maaf menyusahkan umi.. Yamy dah call abang tapi abang tak jawab..  Abang Ril nak jumpa sekejap.. macam penting..”  Syazmy meminta bantuan mertuanya.  Keadaan agak terdesak.  Suara Khairil seolah dia sedang kusut dan memerlukan bantuan.  Mama dan papa memberitahunya tentang hubungan pertunangan antara Leya dan Khairil sudah pun diputuskan atas permintaan Khairil sendiri.  Yang Syazmy tahu, jantungnya tidak berhenti berdegup.  Seolah Khairil sudah mengetahui tentang hujung pangkal kisah mereka.  Dan lebih membuat hatinya gundah, pertemuan dengan abangnya ini tidak dapat diberitahu secara terus pada sang suami. 
  Yamy nak ke mana?”  Puan Bainun mendukung Haziq.  Syazmy mengucup lembut pipi mongel anaknya itu.  Fifi turut ditinggalkan bersama mertuanya.  Memandangkan Fifi biasa di situ, jadi tidak akan ada masalah untuknya.  Fifi turut membawa kerja sekolahnya untuk dibuat bersama datuk dan neneknya. 
  Yamy nak jumpa abang Ril.  Dia macam ada masalah je.  Yamy nak tumpangkan Fifi dengan Haziq dekat sini.. boleh, mi?  Yamy dah call abang tapi abang tak jawab.. macam mana, mi?”  Syazmy kelihatan resah.  Dua-dua sama penting dalam hidupnya.  Khairil pernah menjadi sejarah silamnya dan lelaki itu adalah lelaki yang menyaksikan jatuh bangunnya di dalam hidup ini.  Satu bahagian lagi, dia tidak mahu menjadi seorang isteri yang ingkar.  Dia mahu mencium bau syurga bersama redha Ilham. 
  Takpelah.  Yamy pergilah.  Umi izinkan.  Nanti umi beritahu dengan Am..”  Puan Bainun menenangkan hati menantunya.  Setakat pertemuan dengan seorang lelaki bergelar abang, tak mungkin Ilham akan menghalang. 
  Yamy dekat-dekat sini je, mi.  Apa-apa hal, umi call Yamy tau… Yamy dah mesej abang dah..”  Syazmy memberitahu.  Puan Bainun mengangguk faham. 

  TERIMA kasih, Yamy..”  Bergetar suara lelaki itu mengungkap kata.  Syazmy hanya duduk di hadapan lelaki itu.  Khairil memandangnya redup.  Lelaki itu kelihatan kusut tapi masih tenang.  Syazmy terasa jantungnya berdegup pantas.  Banyak perkara yang menguasai mindanya.  Dia gusar penerimaan suaminya dan dia juga Amaukan anak-anaknya yang ditinggalkan di rumah mentuanya. 
  Kenapa abang cakap macam ni?  Apa yang Yamy dah buat sampai abang berterima kasih macam ni?” 
  Abang cuma nak berterima kasih.  Syazmy perempuan yang terbaik dan terhebat yang pernah abang jumpa.  Abang tak tahu bila abang akan jumpa dengan perempuan yang standing bainya dengan perempuan yang pernah bertakhta dalam hati abang ni..”  kata-kata terakhir itu mengejutkan Syazmy.  Khairil sudah pulih ingatan kah?
  Ma…ma..na abang tahu ni?  Abang dah ingat ke?”  Syazmy memandang ke dalam mata abangnya. 
  Sekarang baru abang tahu kenapa perasaan abang tak pernah berhenti berdenyut bila berada dekat dengan Yamy dan abang jugak dah temui jawapan kenapa abang suka merenung wajah lembut Yamy..  mulanya abang ingat semuanya sebab Yamy dan abang punyai hubungan rapat adik-beradik.  Rupa-rupanya ada hal tersembunyi.  Yamy pernh menghuni seluruh hati kecil abang ni dan abang masih belum lepaskan Yamy..”
  Abang… semuanya dah tertulis.  Memang jodoh kita tak ada.  Walaupun peluang terbentang di hadapan kita, kita tak pernah dapat bersatu.  Mungkin kita hanya tersurat untuk hidup sebagai keluarga..”  Syazmy mengesat airmatanya.  Sejak kemalangan menimpa Khairil, Syazmy tidak pernah terlintas bahawasanya lelaki itu mungkin akan sembuh.  Dia sudah memiliki jalan hidupnya dan dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.  Dia mahu hanya menempuhi masa depan yang cerah dengan keluarganya. 
  Abang faham, Yamy.  Abang nak jumpa hari ni bukan nak minta kita kembali seperti dahulu.  Abang nak lepaskan perasaan abang pada Yamy.  Cuma, abang minta Yamy izinkan abang menyimpan kenangan manis kita.  Abang tahu kita banyak kenangan bersama.  Melihat Yamy bahagia sekarang, abang dah cukup tenang.  Abang tahu pilihan untuk bersuamikan lelaki hebat seperti Ilham itu hanya sekali dan Yamy berjaya meniti rumahtangga bersamanya.”  Suara Khairil seolah tersekat.  Dia ketawa seolah menahan pedih di dada.  Syazmy menelan liurnya.  Khairil di hadapannya ini adalah lelaki yang matang.  Lelaki yang sudah menerima kisah mereka sebagai sejarah. 
  Bahagia Syazmy bermakna abang juga bahagia.  You are my only and my beloved sister.. always be like that..”  Khairil menuturkan kata-kata itu lembut.  Siapapun mendengar akan merasa terharu.  Lelaki itu sedang melepaskan cinta yang mengikat hatinya.  Dalam erti kata lain, dia sedang redha dengan jalan hidupnya yang berliku.  Mencintai wanita yang sudah bersuami hanya menambah dosa yang entah bila mahu surut.  Khairil mahu keluar dari teka-teki hidupnya.  Dia mahu mencari cahaya bahagianya biarpun sukar.  Melihat keluarga Syazmy runtuh bukanlah kemahuannya. 
  Abang Khairil.. maafkan Yamy.  Takdir kita bukan untuk bersama..” 
  Yamy.. jangan minta maaf dengan abang..  Yamy tak pernah bersalah.  Abang baru sedar, semua ini kerana kekhilafan abang sendiri.  Kalaulah masa boleh diundur, abang akan cuba bersabar dari mengucapkan kata penamat terhadap hubungan kita.  Perlahan-lahan abang mampu mengingati semuanya Yamy.  Sakit betul perasaan abang ni.  Tapi abang berterima kasih pada Leya.  Abang tahu semua ni dari mulut Leya, Yamy.  Kalau dia tak berterus-terang hari ni, abang akan hidup dalam samar-samar.  Abang tak tahu kenapa Leya dan abang bertunang sedangkan bergandingan dengan dia terasa macam duduk dengan seketul ais.  Dingin dan sejuk tapi tak pernah menyamankan.  Puas abang cari sebabnya dan abang kira keputusan abang untuk memutuskan pertunangan kami secara rasmi adalah jalan terbaik untuk hidup abang.  Akhirnya abang jumpa dengan jawapan kepada satu persoalan yang sentiasa berada dalam otak abang ni..”  Khairil memandang adiknya itu lembut.  Syazmy memang memenuhi syarat-syarat seorang gadis idaman.  Tapi dia sudah dimiliki.  Dia seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. 
  Hal kita dah berlalu abang.  Simpan dan tutup kemas ceritera kita ni supaya kita sama-sama boleh menghadapi hari akan datang dengan baik.  Lupakan semua ini dan mulakan sebuah lembaran baru.  Memang bukan senang tapi ada harapan kalau kita mencuba dengan baik..  Yamy mencuba nasib dalam perkahwinan yang papa rancang dan Yamy bahagia.  Abang pun kena bangun dan buka mata.  Sekarang bukan zaman untuk kita berangan lagi.  Sekarang untuk kita berlari abang.  Berhenti membawa kisah silam kita yang hanya melukakan kita..  Yamy doakan abang bahagia dan bertemu dengan gadis yang lebih baik dan akan menjaga abang dengan baik..”  Syazmy mahu berhenti mengungkit kisah silan yang tak ada kesudahannya.  Dia jemu memikirkan semua hal-hal lepas.  Dia mahu memikirkan hal yang akan datang sahaja.  Mahu berada dalam lingkungan bahagia bersama Ilham, Haziq dan Fifi.. atau mungkin bersama ‘adik-beradik’ baru anak-anak mereka.  Cukuplah apa yang dia terima.  Dia tidak mahu meminta lebih dari apa yang dia ada kini.  Khairil tersenyum lembut.  Syazmy menarik nafas lega. 

No comments:

Post a Comment