Monday, 7 October 2013

:::Biarkan Aku Sendiri:::


Dua puluh tiga

  MAMA… lauk ni nak letak mana…”  Suara lembut itu menerjah halwa telinganya.  Khairil terus ke dapur.  Suara dan kelembutan wanita itu menggetarkan jiwanya dan serasa dia tidak dapat menerima hakikat yang perempuan itu adalah adiknya.  Tiap gerak Syazmy bagaikan menarik-narik jiwanya untuk hampir pada wanita itu.  Dia memang sudah maklum tentang kehadiran Syazmy setiap Jumaat bagi berkumpul dan makan bersama. 
  Letak dalam pyrex mama tu…”  Puan Rubiah turut sibuk menyiapkan makan malam untuk keluarga itu.  Bunyi dari dapur memang menarik langkah kaki Khairil untuk ke dapur.  Matanya mencari raut wajah Syazmy.  Namun matanya tertancap pada katil bayi yang diletakkan berdekatan d$engan dapur.  Bayi lelaki itu sedang bermain sendiri di dalam katil kecil itu.  Khairil menghampiri bayi itu dan mendukungnya.  Dia mencium pipi mogel itu. 
  Eh… abang dah balik?  Haziq kacau Uncle Arill ye?”  Syazmy tersenyum ke arah abangnya.  Pipi Haziq dikucup lembut. 
  Yamy.. buatkan abang air boleh?”  Khairil meminta lembut.  Berdosa mencintai milik orang… namun hatinya seolah degil dengan kenyataan itu.  Sekadar menyayangi dari jauh, mungkin kurang sedikit dosanya.  Dosa masih tetap berdosa.  Khairil tersenyum sendiri.  Mengejek dirinya yang cemburu dengan kelebihan suami Syazmy.  Suaminya dapat memiliki wanita sebaik itu.  Pasti wanita itu berbahagia.  Punyai suami dan anak serta keluarga yang harmonis. 
  Sejuk atau panas?” 
  Sejuklah… dahaga sangat ni..” 
  Ril… duduklah dulu.  Eh… Haziq main dengan Uncle Arill dia ye..”  Puan Rubiah mengusik cucu lelakinya itu.   Semenjak kehadiran Haziq, perangai suaminya mula lembut.  Walaupun luarannya tampak tegas, lelaki itu sebenarnya sayang pada benih Syazmy itu. 
  Yamy, Am datang pukul berapa ni?”  Puan Rubiah sengaja membangkitkan perihal Ilham apabila melihat Khairil asyik memandang segala gerak geri Syazmy.  Dia akui, Khairil sedikit berubah selepas kemalangan dahulu terjadi namun satu perkara yang tidak berubah adalah sikap dan perhatiannya terhadap Syazmy.  Masih ada sisa perasaan itu tergambar secara tidak langsung. 
  Am kata balik sini lepas jemput Fifi.  Fifi ada kelas petang..”  Syazmy menerangkan dengan gembira.  Hidupnya kini semakin terisi.  Lengkap sebagai seorang wanita. 

  ASSALAMUALAIKUM…”  Suara lelaki yang memberi salam sambil menutup daun pintu utama itu menarik perhatian Syazmy.  Salam itu dijawab sambil mengukir senyum.  Dia tahu pemilik suara itu.  Sambil diiringi suara kecil yang memangggilnya ibu, dia bergegas untuk ke ruang utama.  Tubuhnya dipeluk oleh Fifi.  Sebuah ciuman tulus dihulurkan. 
  Mashamnya… anak ibu ni… sayang naik atas, mandi ye. Baju ibu dah letak atas katil.. lepas tu, kita makan malam sama-sama ye.. tunggu atuk balik..”  Syazmy memberi arahan dengan lembut.  Ilham hanya memerhatikan gelagat Syazmy dan Fifi.  Mereka memang bagai anak dan ibu kandung.  Saat Fifi melangkah mendaki anak tangga, Ilham menghampiri Syazmy dan memeluk bahunya. 
  Hmmmm… ayahnya pun sama.. bucuk ar… g mandi la..”  Syazmy mengusik suaminya.  Hakikatnya lelaki itu masih lagi berbau segar.  Wangiannya bagaikan satu ketagihan.  Syazmy mengukir senyuman.  Ilham mengucup pipinya. 
  Banyak cakap lah isteri abang ni.. kita je yang bucuk.. macam lah dia ni wangi sangat…” 
  Ehhh… tengok orang ye…”  Syazmy menarik muka manja.  Ilham ketawa.  Sebuah lagi kucupan hinggap di pipinya. 
  Haziq mana?”
  Ada dekat abang Ril.. abang naik mandi dulu.. nanti Haziq nangis bila bau bucuk ayah dia ni..”  Masih ligat Syazmy mengusik sang suami. 
  Pandai-pandai je..”  Ilham mencubit manja hidung isterinya.  Dia dikepung rasa bahagia.  Dia melangkah ke dapur dan mendukung Haziq.  Sempat bermain seketika dengan anak kecilnya.  Syazmy menghulurkan segelas minuman sejuk buat suaminya. 
  Thanks..”  Ilham menyambut gelas itu dan meneguknya.  Dia kemudian meminta diri untuk membersihkan diri dan bersolat.  Khairil turut meminta diri untuk membersihkan diri.  Mereka berjalan menuju ke bilik masing-masing.  Haziq kembali diletakkan di dalam katil kecilnya. 

SUASANA makan malam di rumah itu terasa meriah.  Syazmy dan Ilham bergelak ketawa bersama anak-anak mereka.  Bunga-bunga bahagia semakin berkembang.  Encik Hamzah membetulkan cermin matanya.  Dia tahu Syazmy sudah mula memaafkannya.  Perkahwinan yang terbina antara Ilham dan Syazmy semakin tampak sinar kebahagiaan dan tentunya Syazmy melupakan yang dia pernah memaksa anak gadis itu untuk berkahwin dengan Ilham atas tiket untuk menjauhkan dirinya dari Khairil.  Dia sayangkan Syazmy dan memang dia kalau boleh mahukan Syazmy menjadi menantunya namun dia tidak sanggup memikirkan satu saat dahulu, Syazmy pernah kecewa hingga hampir mencabut nyawanya sebagai ayah.  Dia bertekad tidak mahu merestui perhubungan cinta itu bersebab.  Dia tidak mahu kehilangan seorang anak perempuan disebabkan anak lelakinya.  Dia percaya Khairil mampu membahagiakan Syazmy namun Khairil tidak mempunyai kekuatan untuk menempuh dugaan.  Dia ternanti-nanti saat Khairil berterus-terang dengannya tentang Syazmy.  Akhirnya, hampa.  Dek kerana Khairil masih terikat dalam sebuah ikatan pertunangan, dia enggan Khairil menjadi mungkir pada ikatan itu.  Hatinya mengeluh lembut. 
  Papa… papa..”  Suara lembut memanggilnya mengejutkan lamunannya.  Encik Hamzah tersenyum saat jemari lembut Puan Rubiah menyentuh lengannya.  Syazmy tersenyum memandang papanya. 
  Papa berangankan apa?  Nak lauk ni tak?  Your fav..”  Syazmy menyudukan beberapa sudu sambal udang petai kedalam pinggan papanya.  Encik Hamzah mengangguk sambil tersenyum. 
  Abang nak sayur?”  Syazmy mendahulukan suaminya juga.  Ilham hanya menghulurkan pinggannya. 
  Abang Ril nak lauk?”  Syazmy bertanya lembut.  Khairil memandang lembut sambil mengangguk.  Wanita itu tahu kegemarannya dan wanita itu menyenangkannya.  Ya.  Kerana dia seorang adik yang membesar bersamanya.  Khairil selalu mengingatkan dirinya tentang hal itu.  Puan Rubiah dan Encik Hamzah memerhatikan reaksi Khairil terhadap Syazmy.  Memang jelas terbaca tentang ukiran perasaan lelaki itu kepada Syazmy. 

  PENAT ke?”  Ilham berbisik ke telinga Syazmy ketika mereka sama-sama menghabiskan masa bersama menonton rancangan di tengah malam Sabtu itu.  Syazmy yang bersandar ke tubuh Ilham itu menggeleng. 
 Kenapa?  Nak apa?”
 Buatkan Abang koko panas?  Teringin la..”  Syazmy tersenyum lalu bingkas bangun menuju ke dapur.  Ilham hanya mengukir senyum.  Seketika kemudian, Syazmy menghulurkan secawan koko panas dan melabuhkan duduknya semula di sisi Ilham. 
  Thanks..”  Sebuah ciuman terima kasih singgah di pipi Syazmy. 
  My pleasure… sekarang sampai mana?”  Syazmy bertanya tentang rancangan yang mereka tonton tadi. 
  Lelaki tu rancang dah nak jumpa dengan pembunuh tu tapi tak sempat..”
  Abang rasa dia dapat jumpa tak pembunuh bini dia tu?  Kesian dia kan?”
  Abang rasa dapat.  Tapi, tulah.  Banyak sangat halangan..”  Syazmy mengangguk sambil menumpukan perhatiannya ke kaca televisyen.  Tiba-tiba kedengaran suara rengekan dari bilik utama mereka.  Syazmy memandang ke arah Ilham sambil dia bergegas berlari ke bilik utama.  Kelihatan Haziq sedang duduk di dalam katil kecilnya merengek sendirian.  Syazmy tersenyum lalu menghampiri anaknya itu.  Didukung serta diciumnya Haziq berkali-kali hingga Haziq tersenyum.
  Anak mama haus ye?  Bangun sebab haus ye?”  Pertanyaan Syazmy itu dijawab dengan rengekan biasanya.  Syazmy masih tersenyum.  Hidupnya makin berseri selepas menerima kehadiran anak sulungnya itu.  Lantas, Syazmy terus merebahkan Haziq dalam pelukannya dan menyusukannya. 

  ASSALAMUALAIKUM…”  Ilham tersenyum ke arah Syazmy yang sedang menyusukan Haziq, anak sulung mereka yang berusia sebelas bulan.  Dia melangkah berjingkit-jingkit ingin menyakat anaknya itu. 
  Waalaikumussalam..”  Syazmy mengukir senyum pada Ilham.  Lantas, anak kecil dipangkuannya turut tersenyum apabila mendengar suara papanya. 
  Ha… tengok..  dia boleh bangun dengar suara Abang.  Baru kejap menyusu.  Kejap lagi, Yamy kena buatkan susu botol untuk dia.”  Ilham hanya tersenyum merapati isterinya itu.   Lantas, Ilham bersandar di sebelah Syazmy.  Haziq bangun memandang papanya.  Syazmy cuma memerhatikan gelagat mereka.  Haziq dan Ilham memang rapat.  Keduanya sering bergurau. 
  Ziq tak nak susu dah?  Ayah amik ye?”  Ilham mula memancing minat Haziq untuk menyusu semula.  Dia merapati dada Syazmy.  Haziq mula menolak dada Ilham.  Ada rengekan yang kedengaran.  Anak itu sebenarnya masih mengantuk namun kehadiran Ilham membuatkan matanya seolah digagahkan untuk dibuka.  Ilham dan Syazmy ketawa berdua.  Terhibur dengan keletah Haziq yang manja itu. 
  Dia dah mula nak meragam malam-malam buta nie.”  Syazmy melirik ke arah jam dinding yang sudah pun menunjukkan jam 12.30 malam.  Haziq mula membuka mulut untuk menyusu semula.  Ilham tersenyum lagi.  Tangan Haziq dicuit.  Ada ekoran di mata itu memandang papanya.  Meskipun, matanya makin kuyu. 
  Dah, Ziq.  Tinggal untuk ayah pulak.  Ayah pun nak minum jugak..”  Ilham menarik jemari Haziq.  Sekadar mengusik.  Haziq merengek sambil menghentakkan kakinya.  Syazmy mula ketawa dengan gelagat Haziq. 
  Dah..dah.. ayah pulak..”  Usikan Ilham itu membuatkan Haziq mula merengek panjang. 
  Janganlah kacau, Abang.  Kang meragam kang.  Bagi dia tidur balik.”  Ilham mencium pipi Haziq berkali-kali.  Ilham bangun lalu melangkah ke bilik air.  Syazmy menepuk-nepuk Haziq agar tertidur.  Sesekali, wajah comel itu diusap penuh rasa sayang. 
  Dah tidur?”  Ilham merapati Syazmy yang mahu meletakkan Haziq di tengah-tengah katil mereka.  Syazmy hanya mengangguk mengiyakan pertanyaan suaminya itu.  Ilham mendekati pipi bayi itu. Pipi montel itu diciumnya berkali-kali.  Kelahiran Haziq menjadikan hidupnya semakin bermakna. 
  Fifi dah tidur ke?”  Syazmy bertanya kepada suaminya. 
  Dah.  Abang bacakan cerita 1001 malam..”  Ilham mengelap mukanya dengan tuala yang tersidai.  Syazmy melangkah keluar sebentar.  Dia mahu melihat-lihat Fifi.  Sungguhpun anak itu sudah besar, dia tidak mahu Fifi terasa disisih.  Kasih dan sayangnya masih seperti dahulu.  Syazmy mengusap wajah polos Fifi.  ‘Amar, Yamy jaga dia macam anak Yamy..  walaupun jodoh kita tak panjang, Yamy bersyukur sebab kita pernah kenal dan Yamy akan tetap jaga Fifi sampai dia dewasa..’  Hati kecil Syazmy berbisik.  Dia mahu Amar tahu yang anak kecilnya itu bagaikan rahmat baginya.  Dan dia mengasihi anak itu sepenuh hatinya.  Dahi serta pipi itu dikucup lembut.  ‘Selamat malam, sayang.  Mimpi yang indah-indah..’  Semoga rasa bahagia ini tidak hilang.  Syazmy menutup pintu bilik Fifi dan melangkah ke biliknya.  Ilham sudah terlelap sambil mendakap Haziq.  Anak dan ayah itu bagaikan tidak dapat dipisahkan.  Syazmy tersenyum sendiri.  Dia menangkap gambar mereka berdua di dalam telefon bimbitnya.  Dia mahu terus menikmati rasa indah ini tanpa memikirkan perkara sedih.  Dia cukup bahagia menjadi isteri kepada Ilham Fadlan dan menjadi ibu bagi Fifi dan Haziq.  Hidupnya sudah lengkap dan dia tidak mahu meminta lebih dari itu.  Dia cuma berdoa rumahtangganya kekal hingga akhir nyawanya. 

No comments:

Post a Comment