Tuesday, 8 October 2013

:::Biarkan Aku Sendiri:::


Tiga puluh satu

WAJAH-wajah yang sedang menghadapnya ini adalah wajah-wajah asing.  Sepasang suami isteri yang melebihi abad itu sedang merenungnya lembut.  Papa dan mama hanya membisu.  Mereka seolah mahu memberi ruang kepadanya untuk berbual secara sendirian apabila kedua mereka mahu membawa Fifi keluar membeli barangan dapur. 
  Kami tahu semua ini kejutan untuk Fitra…”  Lembut nadanya bersuara.  Lelaki itu memang mempunyai ciri-ciri seorang bapa yang baik.  Namun dia merasakan usia lelaki itu masih berada dalam lingkungan 40-an kerana dia pasti papa lebih berusia sedikit dari lelaki ini. 
  Puas kami mencari Fitra dan keluarga.  Kami bernasib baik sebab alamat terakhir yang kami jumpa tentang ayah angkat Fitra agak berguna..”  Wanita itu pula bersuara.  Syazmy sukar mencerna hubungannya dengan pasangan itu walaupun papa dan mama sudah memaklumkannya beberapa hari lepas.  Dia juga cuba memahami semua yang sedang tertulis dalam takdirnya ini. 
  Fitra.. Pak su dan Mak su faham Fitra terkejut.  Semua ni bukan senang untuk diterima.  Masa ibu dan ayah Fitra kemalangan dengan nenek, Pak su di Labuan.  Pak su tak dapat dihubungi sebab Pak su tak tinggal tetap di satu-satu tempat.  Pak su selalu hantar surat dengan nenek tapi memang nenek tak pernah akan balas.  Satu hari, bila Pak su balik, nenek dah tak ada.  Ayah dan ibu Fitra memang tak pernah pesan apa-apa tapi Fitra satu-satunya darah daging Pak su.  Pak su nak Fitra duduk dengan Pak su.  Bagi peluang Pak su dan Mak su jalankan tugas kami pada Fitra.  Sekurang-kurangnya Fitra pernah kami jaga..”  Tulus kedengaran semua itu.  Syazmy mengesat airmatanya.  Jiwanya sebagai ibu mengandung terasa begitu rapuh.  Dia mahu bahagia.  Dia mahu menjadi wanita-wanita yang berada dalam lindungan keluarga.  Disayangi dan dibelai dengan perhatian.  Dia sudah penat dengan perasaan sebegini.  Perasaan yang terkadang terisi, terkadang lohong. 
  Bagi saya masa… saya perlu fikirkan semua ini.  Keluarga mama dan papa menjaga saya dengan baik.  Kebajikan saya tidak pernah terabai.  Saya tak nak jadi kacang lupakan kulit..”  Mata Syazmy penuh dengan misteri.  Encik Hanif terdiam memandang isterinya. 
  Fitra.. kami bukan suruh Fitra terus tinggalkan keluarga ni.. tapi kami mahu Fitra beri kami peluang untuk tebus kekesalan Pak su.  Pak su rasa bersalah sebab terlewat dalam hal sebegini.  Kami mahu Fitra jadi sebahagian dari hidup kami.  Kami mahu membelai anak dan cucu..” 
  Pak su dan Mak su….”  Pertanyaan itu seakan tersekat.  Dia enggan bertanya semua itu. 
  Kami tak ada rezeki untuk menimang cahaya mata, Fitra.  Kami mahu merasai belaian anak, Fitra..”  Mak su bersuara.  Wajahnya tenang sahaja.  Mungkin redha dengan suratannya. 
  Beri saya masa…  hidup saya sangat kucar-kacir dan saya mahu berasa tenang walau hanya untuk sesaat..”  Nada itu sebak.  Mata itu berkaca.  Nafasnya terhembus perlahan.  Puan Nurin memandang lembut ke arah anak saudara suaminya itu.  Wanita itu memang melalui frasa-frasa sukar dalam hidupnya.  Bersendirian saat mengandung pastinya lebih sukar dari dilindungi dan sentiasa bersama sang suami walau tidak dikurniakan cahaya mata. 

SYAZMY bersandar.  Tangannya masih setia menepuk-nepuk lembut tubuh kecil Fifi walau fikirannya melayang jauh.  Pintu bilik Syazmy ditolak perlahan.  Puan Rubiah mengeluh lembut.  Walau dia kehilangan anak tunggalnya, dia tidak sederita Syazmy.  Sukarnya hidup Syazmy bagaikan diduga.  Penuh onak. 
  Yamy…”  Lembut suara itu mencecah telinganya.  Syazmy berpaling. 
  Mama…”  Dia bangun perlahan.  Melihat mama menatang segelas susu panas, dia terasa sayu.  Perhatian mama tidak pernah kurang walaupun berkali dia dihimpit rasa bersalah kerana menyebabkan anak bujang wanita itu dijemput Ilahi. 
  Jangan banyak sangat berfikir.  Tak baik untuk baby…  tenang-tenangkan diri ye.. Minum susu ni..”  Puan Rubiah mengusap belakang anaknya itu.  Begitu banyak perkara yang mengejutkan.  Semuanya terlalu pantas.  Syazmy kini berhadapan dengan situasi di mana dia harus membuat keputusan berkenaan hidupnya. 
  Kalau mama di tempat Yamy, apa mama akan buat?”  Syazmy meneguk perlahan susu suam yang dibuat oleh Puan Rubiah. 
  Susah nak cakap, Yamy.  Situasi seseorang itu berbeza, sayang.”  Puan Rubiah merenung anak perempuannya itu. 
  Yamy betul-betul buntu, ma.  Setengah hati Yamy mahukan semuanya kembali seperti sediakala.  Yamy sayangkan Am dan bakal anak kami tapi kehilangan Haziq dan abang membuatkan Yamy takut nak melangkah.  Dalam perkahwinan kami, memang Am tidak pernah menyakiti Yamy.  Tapi, malam tu, dia mcam bukan diri dia sendiri.  Yamy dah rasa ada yang tak kena dengan Am tapi Yamy tak mahu mendesak.. rupa-rupanya dia dah tahu tentang hal Yamy dan abang.  Ma, Yamy sumpah ma.  Yamy dan abang jumpa bukan sebab cerita lama.  Kami jumpa sebab abang nak tahu hal sebenar dan abang sendiri dan rela nak lepaskan Yamy dari hidup dia, ma.  Kami berbual macam abang dan adik.  Yamy dah melangkah ke alam perkahwinan.  Yamy ada anak dan suami ketika tu.  Tak mungkin Yamy lupa tentang hakikat itu.”
  Mama faham, sayang.  Yamy kena faham juga, Am seorang lelaki.  Tak mungkin seorang lelaki normal bergelar suami akan bersabar mengetahui status hubungan antara adik dan abang yang ada antara Yamy dan abang tu pernah berstatus kekasih?  Mama yakin, Am terlanjur dalam berkata-kata.  Dia pun sedang lalui perasaan yang Yamy lalui.  Yamy tak mahu ke beri peluang terhadap perhubungan kamu berdua?  Masa depan kamu dan Am masih jauh.  Adik Haziq sedang bernyawa di dalam perut kamu dan sepatutnya kamu fikirkan masa depan dia juga.  Apa pula kehidupan dia kalau ayah di barat dan ibu di timur?  Mama nak Yamy fikir semua ni.  Yamy bukan budak kecil yang perlu mama kata apa yang betul, apa yang salah, yang mana perlu dibuat dan yang mana tak perlu dibuat.  Yamy boleh fikir sendiri.  Yamy ada kehidupan sendiri dan apa yang Yamy mahu dalam hidup?  Sama ada Yamy mahu Fifi dan adik-adik dia berkeluarga atau Yamy mahu menjadi ibu tunggal, semuanya di tangan Yamy..”  Puan Rubiah cuba membantu Syazmy.  Dia tahu Ilham tersilap dan dia tahu Syazmy begitu kecewa dengan keputusan Ilham.  Tetapi sesuatu harus dibuat sementara semua ini masih panas.  Andai hati Syazmy sudah bulat, pasti jalan untuk Ilham dan Syazmy untuk kembali bersama akan tertutup rapat.  Syazmy kelihatan mengeluh perlahan.  Rambutnya yang terurai dielus lembut. 
  Fikir dengan minda, Yamy.  Bukan dengan hati..  Mama tahu, jauh di dasar hati Yamy, Yamy masih sayangkan Ilham dan keluarga Yamy..” 
  Ma… Yamy penat… penat, ma.  Penat sangat…”  Syazmy bersandar ke bahu Puan Rubiah dan akhirnya teresak.  Dia terasa sayu dengan situasinya sendiri.  Puan Rubiah mengusap lembut belakang Syazmy.  Menenangkan perasaan seorang anak.  Encik Hamzah yang baru sahaja melintasi bilik Syazmy terhenti saat mendengar esakan lembut sang anak.  Ada rasa sesal tertunas.  Andai masa dapat diundur, dia pasti tidak akan menghalang perhubungan Khairil dan Syazmy.  Melihat situasi sekarang, melihat kesedihan yang sedang mengepung keluarganya kini, dia kembali memikirkan saat Khairil kecewa dengan keputusan Syazmy menerima Ilham suatu masa dahulu.  Syazmy memang tidak pernah ingkar pada arahannya sebagai ayah dan ketua keluarga.  Kasih sayangnya terhadap Syazmy memang tidak pernah kurang dari kasih sayangnya terhadap anak kandungnya.  Dia mahu hanya yang terbaik untuk anak-anaknya.  Oleh kerana memikirkan akibat yang berkemungkinan terjadi seandainya perhubungan Khairil dan Syazmy musnah selepas kahwin, dia enggan menikahkan mereka berdua namun Syazmy tidak pernah menyalahkannya.  Kini, peristiwa yang berlaku membuatkan dia tersedar betapa besar kasih sayang Khairil terhadap Syazmy.  Sekalipun lelaki itu kehilangan ingatan, perasaannya masih subur terhadap Syazmy.  Khairil pergi selepas dia melepaskan perasaan cintanya terhadap Syazmy.  Lebih sesal lagi saat telinganya terjamah berita Ilham melepaskan Syazmy setelah tahu mereka pernah bercinta.  Sukarnya liku hidup Syazmy.  Kalaulah semua ini dia tahu lebih awal, tentunya dia akan mengizinkan Khairil menyunting Syazmy.  Khairil memang membawa cintanya hingga akhir nafasnya. 

No comments:

Post a Comment