Tuesday, 5 November 2013

Dia... Safaa Hafiya

Sembilan

            REDZA membelikan mainan lagi buat Adam.  Safaa hanya memerhatikan gelagat keduanya.  Sejak Adam keluar dari hospital, layanan Redza juga berubah 200%.  Puan Azizah makin senang dengan perubahan antara Redza, Adam dan Safaa.  Safaa menghulurkan segelas jus oren kepada Redza.  Redza yang sedang melonggarkan lengannya. 
            “Thanks, Fiy..”  Walaupun kelihatan sedikit terkejut, Redza masih menyambut minuman yang dihulur. 
            “Thanks too, Redza..” 
            “I guess that I am forgiven?”  Redza mengusik Safaa.  Tawa kecil Safaa terletus.  Ya ALLAH, manisnya tawa itu.  Mengapa permata itu tersembunyi?  Redza merenung dengan pandangan redup. 
            “Saya bukan maksum.. bukan juga nabi..  saya tak pernah rasa untuk berdendam dengan awak…”  Safaa duduk dengan santai di hadapan Redza.  Mereka memerhatikan Adam yang sedang berbasikal di halaman rumah. 
            “Saya tidak pernah matang walaupun saya lebih tua dari awak..”   
            “Ohh.. should I call you atuk?”  Safaa bergurau.  Tawanya meletus lagi.  Ketika dia ketawa, pipinya memerah dan matanya turut tersenyum.  Redza terasa indah dapat berbual sesantai itu dengan Safaa. 
            “You know what I meant..”  Redza masih memerhati gelagat Safaa dan Safaa masih tersenyum. 
            “Mungkin pengalaman telah mematangkan saya.  Dan pengalaman awak mungkin tidak sepahit pengalaman saya..” 
            “Saya ada pengalaman pahit juga, Fiy..” 
            “Awak cuma ada pengalaman pahit ditinggalkan oleh kekasih yang tidak berupaya menolak permintaan keluarganya.  Pada saya, itu tindakan yang baik, Redza.  Bila dia memilih keluarganya, doakan kebahagiaannya.  Saya pasti, dia tidak bahagia selagi awak begini.  Lepaskan kenangan lalu untuk hidup di masa hadapan.  Kasihankan ibu..  carikan dia menantu yang lebih baik dan move on..”  Kata-kata Safaa itu ditelan oleh Redza.  Otaknya ligat berfikir. 
            “Pengalaman awak lebih pahit?” 
            “Pengalaman saya telah menjadi ubat untuk jiwa saya menjadi lebih kuat..”  Safaa masih mengukir senyum. 
            “Keluarga awak?” 
            “Saya telah kehilangan semuanya saat Adam berada di dalam hidup saya..  semuanya.. kerana itu juga, saya tidak boleh kehilangan Adam.  Kalau awak mahu saya tinggalkan keluarga awak, demi Adam, saya sanggup..”  Mata Safaa mula berkaca.  Bercerita tentang kisah lalu akan merobek lukanya. 
            “Saya dah melukakan awak..  Saya tak patut marah apabila ada orang menumpang kasih ibu.  Saya patut bangga kerana ibu saya disayangi..” 
            “Terima kasih Redza…”
            “Untuk apa?”
            “Untuk penerimaan awak pada Adam..  saya lega bila awak dah tak benci Adam..” 
            “Saya bukan benci Adam..” 
            “Saya tahu.. tapi ingat satu perkara, Redza.. Jangan bencikan manusia yang berbuat dosa..  tapi, bencilah pada dosa yang manusia lakukan..”  Safaa membuatkan Redza terkedu.  Jadi, benarlah…?  Safaa bangun dari kerusi dan membiarkan Redza terus tertanya.  Dia memanggil Adam untuk masuk.  Jus oren dihadapannya diteguk rakus.  Redza menghela nafas. 

“ASSALAMUALAIKUM..”  Ada suara memberi salam di luar pagar.  Kereta Honda Civic Type R berwarna hitam metalik itu diperhati.  Redza bangun serta menjawab salam itu di dalam hati dan lantas dia membuka pintu. 
            “Im?  Astaghafirullah..  mana hilang Im?”  Redza memeluk tubuh yang berdiri di hadapannya. 
            “Ibuuuuuuu…  tengok siapa datang, bu..”  Redza menjerit.  Puan Azizah juga kelihatan terkejut dengan kehadiran insan yang sudah lama menghilang itu.  Airmatanya jatuh melihat lelaki itu masih seperti dahulu. 
            “Masuk Im.. masuk..” 
            “Im nak minta izin ibu dengan Redza.  Nak bermalam di sini.  Saya rindu masakan ibu..”  Petah bicaranya menjadikan Puan Azizah makin sebak.  Terkilan kerana arwah suaminya tidak dapat berada bersama-sama mereka hari ini.  Hidupnya seolah lengkap setelah Im pulang kembali di hadapan matanya. 
            “Im.. ini rumah Im.. bila-bila Im boleh tidur sini..”  Puan Azizah menepuk bahu lelaki itu.  Redza mengambil beg Im dan mereka melangkah bersama masuk ke rumah. 

            SAFAA sibuk menyiapkan hidangan makan malam.  Masakannya tidaklah istimewa mana.  Cuma dia terdengar ada suara asing di rumah ibu itu.  Mungkin teman Redza.  Namun, dia tersentuh saat mendengar suara lelaki itu mengalunkan bacaan suci ketika melintasi ruang hadapan tempat semua berjemaah.  Dia terasa larut dalam kenangan lama.  Merindui seseorang dari jauh.  Mungkin dia terbawa-bawa kisah lama kerana berbual dengan Redza petang tadi rasanya.  Safaa menghela nafas.  Menenangkan perasaan sendiri. 
            “Dah siap ke hidangannya, Fiy?”  Teguran dari Puan Azizah dijawab dengan senyuman.  Meja makan memang sudah terhidang dengan lauk-pauk. 
            “Kita ada tetamu hari ni..”  Puan Azizah memberitahu. 
            “Fiy tahu..  Fiy dengar suara lain tadi.  Siapa, bu?  Kawan Redza ke?” 
            “Lebih kurang la.. tapi dia dulu masuk Islam dengan ayah Redza.  Dah lama dia tak jenguk kami..  dulu dia rajin datang belajar dengan ayah Redza..”  Penerangan itu dijawab dengan anggukan faham dari Safaa.  Rugi juga dia ‘bercuti’ solat kerana pahala jemaah diimamkan oleh muslim yang diislamkan oleh ayah Redza.  Pastinya istimewa.  Safaa tersenyum sendiri. 
            “Haaaiii.. senyum sorang-sorang ni kenapa?  Berkenan ke?”  tegur ibu. 
            “Hishh.. ibu ni.. Fiy tak kenal pun dia.. nak berkenan tiba-tiba pulak..”  tangkis Safaa yang sedang menyusun buah-buahan yang baru dipotong. 
            “Dia duda tauuu..  handsome pulak tu..”  Puan Azizah mula melobi untuk anak angkatnya itu.  Safaa ketawa kecil. 
            “Ibu ni… macam-macam.. jangan nak jadi agensi mencari jodoh pulak yeee..”  Safaa memeluk Puan Azizah dari tepi. 
            “Ishhh.. untung Fiy… ada dua pilihan.. pilih je.. nak yang duda ke nak yang bujang..”  Puan Azizah makin giat mengusik. 
            “Ibuuuuuuuu…”  Safaa mula ketawa sambil menggeleng.  Saat jemari Safaa meletakkan piring terisi buah, pandangan matanya bertaut pada sepasang mata jernih.  Segaris senyum dihulur padanya namun mata Safaa mula membulat seperti belon yang makin diisi dengan angin. 

            HANS IMTIAZ ABDULLAH..?!  Nama itu hanya bergema di dalam hatinya.  Terasa matanya tidak mampu mengecil dan lelaki itu memang bijak menyembunyikan rasa terkejut.  Dan, meja makan yang semakin rancak dengan suara-suara ibu, Adam, Redza dan Hans semakin jauh dari pendengaran Safaa.  Nasi yang ditelan terasa seperti begitu lambat ditelan oleh esofagusnya.  Hadirnya lelaki itu ke meja makan telah membawa fikiran Safaa ke lautan kisah silamnya. 
Kediaman Aman Damai

            “AKU tak ada anak macam kau!!  Berani kau menconteng arang ke muka keluarga aku?  Kau keluarrrrrrr!!  Keluar aku kata!  Jangan kau tunjukkan muka kau ke sini lagi!”  Suara walid mengegar jantung Safaa.  Mata walid yang memerah itu membuktikan yang dia memang sedang marah.  Umi hanya menangis dan mengusap airmatanya.  Safaa masih duduk.  Dia sanggup dihukum bunuh sekalipun.  Dia tidak pernah mahu mengecewakan keluarga sendiri. 
            “Jangan buang Faa, walid.. umi..  Faa salah.  Tapi jangan buang Faa macam ni.  Mana Faa nak pergi, umi…”  Tangisan Safaa makin lebat.  Saat begini, dia mahu menceritakan semuanya agar walid dan umi faham namun dia tahu tiada siapa yang akan percaya padanya.  Apa yang mampu dia lakukan, mengaku salah sahaja. 
            “Kau dah malukan aku, baru kau nak mengaku salah??  Kau keluar.  Aku tak nak tengok muka kau lagi!  Aku jijik!  Aku bela kau dengan kasih sayang.  Aku beri pengetahuan agama, ini yang kau bagi aku??”  Suara walid makin keras.  Melutut di kaki walid dan umi tidak akan menyejukkan hati mereka dengan kebenaran yang mereka tahu. 
            “Kenapa Faa buat kami begini, Faa?  Kenapa tak fikir dulu, Faa?”  Suara umi seolah kesal. 
            “Siapa punya kerja?  Beritahu Aqi..  beritahu!!!”  Suara Syauqi bergema.  Di tangannya ada sebilah parang yang masih berkilat.  Safaa menelan liurnya.  Membayangkan kepala yang terpisah dari badan kerana parang itu. 
            “Masa kau menyedap… kau tak ingat dosa pahala.. masa kau dah memboyot, kau cari keluarga?  Kau tak fikir ke masa kau buat kerja berdosa ni pada maruah walid?  Maruah umi?  Maruah Syauqi?  Apa aku nak cakap dengan orang kampong??  Anak aku mengandung anak luar nikah?  Tak ada bapak?”  Suara walid makin meninggi.  Nada kesal kedengaran. 
            “Assalamualaikum…”  Suara garau memecah suasana yang semakin tegang.  Ada sesusuk tubuh mendaki anak tangga.  Semua yang ada di situ terkaku seketika. 
            “Saya… lah bapa kepada anak Safaa tu.. pakcik.. makcik..”  Safaa berpaling apabila suara lelaki yang mengaku itu datang dari pintu rumahnya.  Hans masuk dan melutut. 
            “Kaaauuuuuu??  Kau berani datang sini??  Kau nak mampus sangat dahhh?”  Syauqi mula kehilangan sabar.  Parang mula diangkat. 
            “Jangannnnnnnn Aqiiiiii..  jangannnnnn… jangan bunuh dia…”  Safaa menjerit nyaring.  Sesak nafasnya melihat parang itu terangkat.  Dia tidak mahu sesiapa terkorban.  Hans kelihatan tenang.  Mungkin dia sudah berserah.  Safaa menelan liurnya.  Dia tidak sanggup andai ada yang terkorban di rumah walid ini. 
            “Sekaranggggg.. kau cakap dengan akuuuu.. kau nak nikah dengan kakak aku ke tidakkk??”  Syauqi mencekak kolar leher Hans.  Hans menelan liur.  Dia mengangguk.  Dia sanggup.  Dia tidak sanggup melihat Safaa melalui semua ini sendirian. 
            “Bangun!!  Kita pergi pejabat agama..  selesaikan semua ni..”  Suara walid mula kedengaran semula.  Esak Safaa masih belum reda. 

            “MULAI hari ni, kau bukan lagi keluarga aku.. jangan kau tunjukkan muka kau depan aku..”  Walid memalingkan wajahnya apabila Safaa dan Hans menghulurkan salam meminta restu selepas selesai pernikahan mereka. 
            “Abanggg.. sudahlah tu…”  Suara umi memujuk walid kedengaran.  Perkarangan pejabat agama itu hening.  Syauqi meraup wajahnya.  Dia jadi marah melihat pasangan itu.  Entah kenapa kakaknya boleh terjebak begini.  Dia kesal.  Setahu dia, Safaa bukan sebegini orangnya.  Safaa sangat mementingkan maruah diri.  Namun, siapa sangka, manusia tetap akan berubah. 
            “Kalau awak nak pilih ikut dia, pergilah.. saya dah tak ada anak perempuan lagi.  Bagi saya, Safaa Hafiya dah mati!!”  Dan ungkapan itu telah membuatkan Safaa rebah menyembah bumi.   Penolakan walid bagaikan hukuman bunuh dalam hidupnya.  Hans menyambut tubuh Safaa yang rebah itu. 
           
HANS memerhatikan tubuh tidak bermaya itu.  Dugaan untuk Safaa ini memang besar.  Dibuang keluarga dan mengandung memang satu dugaan yang maha hebat buat Safaa.  Hans menghela nafas.  Sejak dinikahkan, bilangan kosa kata yang keluar dari kotak suara Safaa boleh dikira.  Jika semua jawapan boleh dijawab dengan anggukan dan gelengan, lagi sukar untuk berkomunikasi dengan Safaa. 
Setiap hari, dia semakin senyap.  Dia hanya akan berbaring dan menangis dari pagi sampai ke malam.  Malah, dia kerap kali pengsan dan terpaksa dimasukkan air ke dalam tubuhnya.  Wajah bersemangatnya makin pudar.  Yang ada cuma mata yang membengkak dan sembap.  Tubuhnya semakin tidak seimbang dengan keadaan ibu hamil. 
Hans semakin bimbang.  Doanya tidak pernah berhenti agar Safaa terus tabah dan dapat menerima semua dugaan.  Dan dia tahu ALLAH Maha Mendengar. 
“Fiyy… janganlah macam ni…”  Hans memujuk Safaa.  Safaa masih berbaring.  Bantalnya masih basah.  Entah bila dia akan berhenti menangis. 
“Awak tak rasa.. mana awak tahu..  saya rasa saya tak patut hidup..  saya tak nak hidup.. kenapa kahwin dengan saya?  Biarlah walid bunuh saya.  Biar Aqi parangkan saya..”  Perlahan Safaa meluah rasa. 
“Astaghafirullah.. jangan macam ni, Fiy..  ALLAH menduga kita kerana Dia tahu kemampuan kita, Fiy..  Jangan macam ni Fiy.  Anak ini rezeki.  Ada sebabnya ALLAH kurniakan dia, Fiy..”
“Awak takkan faham.  Saya hilang kesemuanya.. semua…”  Tangisan Safaa kedengaran.  Hans duduk di sisi Safaa. 
“Saya ada, Fiy.. Saya suami awak dan saya akan sentiasa bersama awak..”  Tubuh lesu Safaa ditarik lembut.  Sebuah pelukan lembut dan kejap diberikan.  Menyalurkan semangat buat sang isteri. 

Wake up, Fiy.. mereka akan maafkan awak suatu hari nanti.  Saya akan pastikan semuanya kembali pulih.  Mereka terkejut sebenarnya.  Awak tak salah.  Tak pernah salah. Cuma ini takdir buat awak… terimalah dengan redha.  Bayi ini pun tak pernah salah, Fiy.  Saya tak nak dengar apa-apa yang negatif dari awak..  ingat Fiy.  Saya ada.  Sentiasa ada untuk awak… Saya terima segala takdir ALLAH ini.  Saya terima Fiy dan bayi ni..  ingat pada ALLAH, Fiy..  Banyakkan bersabar, Fiy..”  Kata-kata Hans itu menyerap satu demi satu ke dalam jiwa Safaa.  Tangisannya masih bersisa di dada Hans.  Hans yang baru memeluk Islam itu begitu positif dengan takdir dan mengapa dia tidak?  Safaa memejam mata.  Perlahan-lahan dia memupuk diri agar mula menerima kenyataan yang pahit itu.  ALLAH, besar sungguh kurnia-MU.  

No comments:

Post a Comment